CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: yipun78

BERITA AKHBAR MENGENAI ATM & PDRM

[Copy link]
Post time 6-5-2015 07:06 PM | Show all posts
Elang Malindo garap hubungan Malaysia-Indonesia



LATIHAN Bersama (Latma) Elang Malindo yang telah dilaksanakan sejak empat dekad yang lalu berjaya membawa banyak manfaat kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU).

Penganjurannya yang memasuki edisi ke-25, Latma Elang Malindo jelas menunjukkan kematangan kerjasama serta kemampuan TUDM dan TNI-AU.

Kerjasama antara dua pihak tentera udara itu amat penting bagi mengawal kedaulatan kawasan masing-masing yang terletak di antara sempadan satu sama lain antaranya Selat Melaka.

Fokus utama dalam latihan itu adalah meningkatkan kemampuan TUDM dan TNI-AU ketika melaksanakan operasi ketenteraan selain perang bagi menangani ancaman keganasan dan bencana alam yang relevan dengan situasi dihadapi banyak negara pada masa kini.

Diadakan secara dwitahunan dan dihoskan secara bergilir antara kedua-dua pihak, Latma Elang Malindo Malaysia-Indonesia ke-25 diadakan di Pengkalan Udara TUDM, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Dalam latihan itu, TUDM menyediakan empat pesawat Hawk 108/208, pesawat C-130 dan pesawat EC725 AP manakala TNI-AU pula menghantar empat pesawat Hawk 109/209, pesawat CN295 dan helikopter Super Puma.

Sebanyak 295 anggota meliputi 197 orang daripada TUDM dan 98 orang daripada TNI-AU menyertai siri latihan itu.

Selain itu, kedua-dua pihak menghantar pasukan khas masing-masing untuk turut serta dalam LATMA kali ini yang berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) yang menumpukan kepada operasi secara gabungan untuk meningkatkan keupayaan pengoperasian bersama.

Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Roslan Saad berkata, selain daripada mengeratkan hubungan dan persefahaman dalam kalangan anggota yang terlibat, latihan bersama ini juga berjaya mengukuhkan lagi hubungan yang baik antara kedua-dua negara.



Roslan dilantik sebagai Panglima Tentera Udara yang baharu berkuat kuasa pada 15 September lalu dengan pangkat Jeneral.

"Eksesais ini menjadi platform penting bagi menambah baik prosedur sedia ada untuk memenuhi keperluan angkatan tentera udara kedua-dua negara dalam melaksanakan latihan bersama pada masa hadapan.

"Saya yakin latihan bersama seperti ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membolehkan kita mempertingkatkan lagi kemampuan daripada pelbagai aspek termasuklah prosedur operasi udara bersama," katanya dalam sidang akhbar selepas Upacara Penutup Latma Elang Malindo XXV/2014 di Pangkalan Udara TUDM Kuantan baru-baru ini.

Yang turut hadir, Kepala Staf Angkatan Udara TNI, Marsekal TNI Ida Bagus Putu Dunia.

Sementara itu, Roslan berkata, Latma kali kali ke-25 yang bermula 12 Ogos lalu berjaya mencapai objektif apabila berupaya mengoptimumkan kemampuan aset serta anggota yang terlibat dalam eksesais tersebut.

"Latihan ini bertujuan mempertingkatkan kerjasama operasi koordinasi bersama serta selain memperkukuhkan hubungan baik yang telah sedia terjalin.

"Kita juga adakan latihan ini untuk mempertingkatkan kemampuan TUDM dan TNI-AU dalam melaksanakan Military Operation Other Than War (MOOTW) dan Military Operation War (MOW) secara terancang di kawasan latihan yang ditetapkan.

"Selain itu, sebanyak 73 penerbangan pelbagai jenis pesawat dari TUDM dan TNI-AU telah dirancangkan sepanjang latihan tersebut berlangsung," katanya.

Dalam pada itu, Kepala Setaf TNI-AU Marsekal TNI Ida Bagus Putu Dunia dalam ucapannya berkata, kerjasama antara kedua negara berjiran itu amat penting terutama dalam aspek perkongsian maklumat dan teknologi khususnya dalam usaha menjaga kedaulatan rantau ini.

"Ini termasuk komitmen untuk menjaga keselamatan Selat Melaka yang menjadi antara laluan kapal dagang paling sibuk dunia," katanya.

Beliau berharap prosedur yang digunakan itu dan pengalaman-pengalaman yang mereka lalui dapat meningkatkan kemahiran dan memberikan manfaat keseluruhannya.

"Dengan menekankan kepada aspek kesefahaman kedua-dua pihak berhubung penggunaan prosedur operasi ia mampu membuahkan hasil bagi menangani keselamatan di Malaysia dan juga Indonesia," katanya.

Pada majlis sama, Putu Dunia menganugerahkan Sayap Penerbangan Kehormat kepada lima pegawai kanan TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad; Leftenan Jeneral Datuk Che Akmar Mohd Nor; Mejar Jeneral Datuk Abdul Karim Abdul; Mejar Jeneral Datuk Azizool Arif Abdul Ghani dan Mejar Jeneral Datuk Ansar Ali Majeth.

Roslan pula menganugerahkan Sayap Penerbangan Kehormat kepada lima pegawai kanan TNI-AU, Marsda TNI Zulhasymi S Sos; Marsda TNI Sudipo Handoyo; Marsda TNI Ida Bagus Anom; Marsda TNI Moch Nurullah dan Marsma TNI Agus Dwi Putranto.

Sumber:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/ ... nesia#ixzz3ZM85sVk8
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 6-5-2015 07:09 PM | Show all posts
Edited by robotech at 6-5-2015 07:10 PM

ASP Jodie fasih berbahasa Itali

Jodie Yap Siw Wen, 31, merupakan antara ribuan mahasiswa yang menggapai impian menyambung pelajaran di luar negara.

Lokasinya bukan calang-calang sebaliknya di sebuah negara yang cukup terkenal di Eropah iaitu Itali.

Lebih manis, dia mendapat tajaan biasiswa dengan peluang cerah bergelar pensyarah tetap di sebuah universiti terbaik negara suatu hari nanti.

Namun, tiada siapa menduga haluan rezekinya apabila wanita yang fasih berbahasa Itali ini tidak ditakdirkan menjadi pendidik sebaliknya bergelar pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan (ASP).

Beliau kini mengetuai Bahagian Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Kata Jodie, dia sendiri tidak menduga kisah hidupnya tersemai di arena kepolisan kerana impiannya dahulu terlalu banyak yang direncanakan.

“Rasa untuk menjadi polis memang telah ada dalam diri saya tetapi saya tidak bertindak ke arah itu. Sebaliknya saya belajar dalam jurusan Bahasa dan Linguistik... Seterusnya menyambung pelajaran untuk menggapai hasrat menjadi pensyarah.

“Pada masa sama, saya cuba-cuba untuk memohon kerjaya polis dan ketika di sanalah (Itali), saya mendapat panggilan yang mengubah haluan hidup saya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di IPK Selangor, baru-baru ini.

Dari Itali ke Maktab Cheras

Menurut Jodie, ketika menerima tawaran itu, dia baru enam bulan berada di Eropah untuk menyambung pelajaran dalam pengajian Bahasa Itali, namun dia bertekad untuk kembali ke Malaysia dan menjadi sebahagian dari keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ramai bertanya pada saya, adakah saya menyesal memilih jalan kerjaya ini (polis) dan jawapan saya adalah tidak pernah!.

“Saya tidak kecewa atau menyesal kerana ini juga antara impian saya dan peluang yang datang tidak harus dipersiakan begitu sahaja.

“Saya juga bernasib baik kerana ditempatkan dalam skuad terakhir bagi pengambilan kadet ASP pada masa itu.

“Dari sebuah universiti di Itali saya kemudian ke Maktab PDRM di Cheras untuk menyambung belajar," kata anak sulung dari dua beradik ini.

Bercerita tentang kariernya, Jodie memberitahu, setelah tamat kursus sembilan bulan di Maktab PDRM, beliau ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sebagai pegawai penyiasat (IO) kes-kes jenayah pada 2007.

Penghujung tahun itu, dia beralih ke IPK Pahang dan kali ini jawatannya berbeza kerana ditugaskan untuk ‘merapati’ golongan istana.

“Saya ditukarkan ke Pahang untuk menjadi pengiring kepada Sultan Pahang selama dua tahun. Di situ pengalaman yang diperoleh cukup berbeza daripada apa yang pernah saya alami.

“Saya menjadi polis yang patuh kepada disiplin yang ditetapkan namun pada masa sama, saya harus mengikuti setiap aturan istiadat serta protokol istana.

“Skop tugas saya adalah memastikan keselamatan Sultan Pahang dan kerabat-kerabat istana yang lain. Ia mencabar dan memberi perspektif berbeza," ujar beliau.

Menjadi pengiring Sultan, tambah wanita itu, beliau berkesempatan untuk melakukan pelbagai perkara seperti berlatih menjadi pengawal peribadi dan terlibat dalam latihan komando.

Dunia siasatan narkotik

Dua tahun ditugaskan sebagai pengiring Sultan Pahang, Jodie akhirnya menceburi arena siasatan jenayah narkotik dan dari IPD Subang Jaya, dia melangkah ke IPK Selangor sebagai ASP Tahanan.

“Di IPD Subang Jaya, saya ditugaskan sebagai pegawai penyiasat kanan (SIO) dan di situ saya banyak belajar perundangan meskipun turun padang menyertai proses siasatan dan serbuan pengedar-pengedar dadah.

“ Pada awal tahun lepas, saya kemudian dipanggil untuk mengemudi bahagian tahanan narkotik sehinggalah sekarang. Di sini banyak perkara baharu yang saya belajar dan kes-kes yang ditangani bukan melibatkan pengedar dadah kecil sahaja tetapi sindiket-sindiket dadah besar dari luar negara.

“Cabaran yang dihadapi adalah mendapatkan pertuduhan bagi suspek-suspek yang ditangkap," katanya.

Bagaimanapun, jelas anak jati Seremban, Negeri Sembilan itu, nasibnya baik kerana ASP Husni Manaf yang dahulunya berada di Bahagian Tahanan tidak lokek ilmu dan sudi menyumbang segala kepakaran serta pengalaman yang ada.

“Husni dahulunya adalah ASP Tahanan dan saya mengambil alih portfolionya. Bagaimanapun dia tidak sekadar meninggalkan kerusi dan mejanya pada saya sebaliknya turut meninggalkan kepakarannya di sini. Beliau datang membantu saya dan memberi tunjuk ajar sekali-sekala," jelasnya.

Sumber:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/ ... Itali#ixzz3ZM8iCeJP
Reply

Use magic Report

Post time 6-5-2015 07:11 PM | Show all posts
30,000 pengunjung gegar Tatu Tentera Darat di PD



PENDUDUK di sekitar pantai pengairan negara, Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini teruja dengan pertunjukan Tatu Tentera Darat yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 September lalu di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda).

Pertunjukan itu merupakan kesinambungan daripada acara sama yang diadakan pada tahun lalu dan kali ini ia disifatkan lebih berjaya dan menarik seramai 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Selain itu, pertunjukan Tatu Tentera Darat 2014 ini juga merupakan salah satu inisiatif bagi mempromosikan Port Dickson sebagai mercu tanda Bandar Tentera Darat.

Untuk tahun ini, persembahan tatu tersebut mempamerkan gabungan antara persembahan muzikal dan kepakaran tentera darat serta turut diserikan dengan pertunjukan pentas serta persembahan kebudayaan.

Gabungan semua elemen ini menjadikan pertunjukan kali ini begitu menarik dan tidak membosankan para pengunjung yang terdiri daripada pelbagai golongan dan peringkat umur.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan pertunjukan tatu ini, ia memberikan nafas baharu kepada industri pelancongan di negeri ini khususnya daerah Port Dickson yang terkenal sebagai destinasi pelancongan.

“Acara tatu ini boleh kita ketengahkan untuk memastikan acara tahunan Tentera Darat ini akan lebih dapat dimeriahkan. Agensi berkaitan dan juga Majlis Perbandaran Port Dickson boleh menjalinkan kerjasama untuk mengadakan acara selingan yang lain," ujarnya ketika berucap pada malam persembahan itu.

Yang turut hadir menyaksikan pertunjukan itu ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar.

Dalam pada itu, Pengurus Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Baharudin Jali berkata, pertunjukan tatu itu adalah sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 bagi mempromosikan Negeri Sembilan.

“Kita bekerjasama dengan Tentera Darat di dalam usaha mempromosikan Bandar Tentera Darat selaras dengan konsep ‘Military Tourism’ yang diketengahkan.

“Tatu kali ini mempunyai kelainan iaitu dengan penambahan pertunjukan membuka dan memasang meriam 105 dengan pantas serta membuka dan memasang kereta Jeep," jelasnya.

Sejarah Tatu Tentera adalah nama yang diberikan kepada persembahan berkumpulan dram oleh anggota tentera dengan mempamerkan kemahiran memukul dram dan alat muzik lain di samping membuat disiplin berkawad.

Perkembangan persembahan ini menarik perhatian orang ramai yang mana pada mulanya ia adalah perintah dan kawalan yang berkesan memanggil tentera kembali ke berek telah menjadi ‘tatu’ sebagai satu bentuk hiburan popular.

Antara pertunjukan yang diadakan ialah persembahan pancaragam pusat; anjing perang; gabungan ‘Brass Band’, Serunai dan ‘Big Pipe’; kepakaran jurutera elektrik, jentera diraja dan artileri.

Selain itu, turut diadakan persembahan ‘Drum Liner’; tempur tanpa senjata dan ‘Army Red Warrior’.

Acara yang menjadi perhatian pengunjung antaranya ‘Army Red Warrior’ yang mana sebelum ini ia dikenal sebagai Tim Akrobatik Motosikal Wira Merah Kor Polis Tentera yang ditubuhkan di Kem Imphal, Kuala Lumpur pada tahun 1963.

Selain itu, ‘Drumline’ juga antara persembahan yang mendapat sorakan pengunjung.

Drumline Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (Puzida) ini telah ditubuhkan pada tahun 2012 dan dianggotai oleh para penuntut bersama gabungan unit di dalam Tentera Darat.

Sumber:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/ ... di-PD#ixzz3ZM9N8y9K
Reply

Use magic Report

Post time 6-5-2015 07:13 PM | Show all posts
Pengarah ‘Alcatraz Malaysia’ terakhir



PUSAT Pemulihan Akhlak Pulau Jerejak, Pulau Pinang atau dikenali juga sebagai Penjara Pulau Jerejak pada asalnya merupakan pusat pemulihan bagi mereka yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969.

Pusat pemulihan itu mula beroperasi pada 12 Jun 1969 dan dikendalikan oleh Jabatan Penjara. Selain tahanan di bawah Ordinan Darurat, pusat pemulihan itu turut menempatkan pesalah mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah pencegahan khas) 1985.

Selepas hampir 24 tahun, Pusat Pemulihan Akhlak Pulau Jerejak akhirnya ditutup pada Ogos, 1993 kerana keperluan pembangunan untuk negeri Pulau Pinang dan bagi menyediakan tempat tahanan yang lebih kondusif.

Akhirnya kisah Pusat Pemulihan Akhlak Pulau Jerejak atau digelar Alcatraz Malaysia semakin dilupakan.

Namun bagi Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan (Dasar) Jabatan Penjara, Timbalan Komisioner Supri Hashim, pengalaman bertugas di pusat pemulihan tersebut meninggalkan kenangan tersendiri kepada beliau yang merupakan pengarah terakhir yang bertugas di situ.

Anak kedua daripada enam adik beradik itu memberitahu, peluang berkhidmat pusat pemulihan tersebut pada 1989 merupakan antara pengalaman paling berharga apalagi usianya ketika itu baru mencecah 25 tahun.

Katanya, tugas untuk ‘menjaga’ dan melayan kerenah lebih 800 tahanan di situ memerlukan kesabaran serta ketahanan mental yang tinggi.

“Saya sendiri sentiasa mendekati pesalah-pesalah di situ dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama mereka antaranya seperti bermain bola tampar. Cara ini dapat mendekatkan lagi diri kita dengan keperluan dan masalah mereka."

“Biarpun begitu, ada juga tahanan yang buat perangai dan sukar dipulihkan. Kadang kala mereka bertindak menjejaskan keselamatan diri mereka, tahanan lain serta pegawai penjara.

“Semua itu tidak mudah tetapi perlu diatasi dengan bijak, Tugas memulih dan membina semula manusia apatah lagi mereka yang tersilap jalan adalah sukar" katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Mengulas lanjut, bapa kepada tiga cahaya mata itu turut melahirkan keyakinan bahawa manusia boleh berubah jika diberi ruang dan peluang oleh masyarakat khususnya keluarga masing-masing.

Jelasnya, konsep mengawal manusia tidak boleh sekadar mengurung tetapi perlu diberikan aktiviti pengisian yang berguna kepada pesalah-pesalah.

Ujarnya, Jabatan Penjara kini bukan sekadar melaksanakan hukuman sebaliknya memulih dan membentuk mereka sebelum dikembalikan kepangkuan keluarga dan masyarakat.

“ Pesalah-pesalah perlu disibukkan dengan aktiviti-aktiviti berfaedah dan jika tidak kita yang akan sibuk nanti, apatah lagi tekanan yang dihadapi semasa ditahan kerana kebebasan mereka adalah terbatas," ujarnya.

Sementara itu, menceritakan pengalaman beliau mengunjungi penjara di luar negara katanya, dari segi infrastruktur negara-negara maju memiliki kemudahan yang lebih baik tetapi dari segi pengisian aktiviti pemulihan di dalam dan di luar penjara kita lebih baik berbanding dengan negara berkenaan...

“Saya pernah melawat ke beberapa buah penjara di luar negara. Malah, saya turut berkesempatan berjumpa dengan rakyat Malaysia yang bertugas di penjara di sana dan diberitahu pengisian yang diberikan kepada pesalah agak kurang berbanding di sini.

“Sebab itu kita lihat, daripada lebih 8,900 banduan yang dilepaskan secara Perintah Parol sejak 2008 hanya 41 orang sahaja yang kembali menjadi banduan dan ini menunjukkan sistem pemulihan yang diamalkan oleh penjara di negara ini lebih baik," jelasnya.

Sebelum itu, menceritakan sejarah pembabitannya dengan Jabatan Penjara, Supri memberitahu, selepas menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya, beliau menyambung pelajaran di peringkat Sarjana di universiti sama.

Bagaimanapun jelasnya, keadaan hidup ketika itu memaksa dirinya berhenti setengah jalan dan seterusnya terus bekerja dengan jabatan tersebut pada 1989.

“Alhamdulillah. Saya sehingga sekarang bersyukur dengan apa yang diperoleh," ujarnya.

Sumber:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/ ... akhir#ixzz3ZM9oBY5J
Reply

Use magic Report

Post time 6-5-2015 07:16 PM | Show all posts
Bukan sekadar kerjaya



MESKIPUN ada sesetengah pihak menyifatkan bidang ketenteraan dan pertahanan bersesuaian dengan kaum Adam, sebenarnya tidak menjadi halangan kepada golongan wanita untuk menyertainya termasuk yang sudah berumahtangga.

Tambahan pula bidang tersebut merujuk kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang amat sinonim dengan ruang angkasa.

Namun begitu, bagi juruterbang pesawat Beechcraft 200T, Mejar Siti Suraida Mazlan yang ditugaskan di No. 16 Skuadron di TUDM Subang, menceburi kerjaya tentera adalah satu tanggungjawab yang sanggup diterimanya kerana bagi beliau, amanah untuk menjaga keamanan negara daripada diceroboh kuasa luar perlu dipelihara.

“Siapa kata golongan wanita tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang besar ini, padahal sebenarnya boleh dilakukan sekiranya mempunyai minat yang mendalam.

“Saya mengambil tugas ini sebagai satu tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya untuk menjaga keamanan dan kedaulatan negara daripada dimasuki anasir luar khususnya penceroboh biar pun melalui ruang angkasa," katanya kepada ‘MegaWira’ ketika ditemui di Pangkalan Udara TUDM Subang baru-baru ini.

Siti Suraida yang merupakan ibu kepada dua orang anak berkata, setiap permasalahan yang wujud dalam menjalankan tugas perlu diambil melalui pendekatan positif.

“Ini bagi tujuan mengumpulkan semangat dalam meneruskan perjuangan demi mempertahankan negara serta mengelakkan daripada rasa mudah putus asa.

“Setiap masalah akan ada jalan penyelesaian. Jadi kita perlu bijak dalam membuat keputusan yang tepat," jelasnya.

Bagaimanapun menurut Siti Suraida, beliau sedih dengan dua tragedi yang menimpa negara tahun ini iaitu insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac, disusuli kejadian pesawat MH17 yang ditembak di ruang udara Ukraine pada 17 Julai.

Baginya untuk menghadapi dan menerima berita sedih itu memerlukan kekuatan fizikal dan mental, khususnya ahli keluarga penumpang dan anak kapal kedua-dua pesawat tersebut.

“Saya juga manusia biasa yang mempunyai perasaan takut, kecewa dan sedih. Mustahil sekiranya saya menyifatkan kejadian yang menimpa MAS sebelum ini tidak meruntun perasaan seorang ibu dan isteri.

“Tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya ini dengan berbekalkan azam, iltizam dan ilmu yang cukup khususnya dalam mengurus keadaan ketika kecemasan," katanya.

Tambahnya, tugas juruterbang pesawat Beechcraft 200T adalah melakukan pengawasan dan pemantauan dengan mengendali operasi maritim udara.

Beliau berpegang kepada misi pangkalan dan misi No. 16 Skuadron dalam mengutamakan aspek keberkesanan dan efisien dalam menggunakan aset yang dimiliki.

“Selain itu, kami juga memberi penekanan terhadap perkhidmatan pengangkutan udara dan bantuan perkhidmatan yang berkualiti kepada semua pihak dalam mencapai keperluan operasi yang berkesan," jelasnya.

Sumber:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/ ... rjaya#ixzz3ZMARGSVy
Reply

Use magic Report

Post time 19-12-2015 01:09 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 9-3-2017 07:39 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 9-3-2017 07:41 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-11-2017 11:44 PM | Show all posts
Edited by robotech at 24-11-2017 11:45 PM

LATIHAN KUASA TEMBAKAN 2017



22 Mei 2017 -Tentera Darat Malaysia (TDM) mengadakan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2017 bertempat di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan. Latihan ini yang dahulunya dikenali sebagai Demonstrasi Kuasa Tembakan (DKT) diadakan sebagai aktiviti tahunan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada Siswa Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) tentang keupayaan manuver dan kuasa tembakan TDM. KPSM Siri 46/2017 kali ini menyaksikan penyertaan 120 Siswa tempatan dan 45 Siswa luar negara. Latihan ini dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera, Yang Mulia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Sri Zulkiple bin Hj Kassim, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Seri Panglima Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi, Penasihat Pertahanan Asing dan delegasi dari Tentera Darat Australia serta Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan. Turut hadir tetamu kenamaan adalah Komander 506 Askar Wataniah, Brig. Jeneral Tengku Temenggong Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan dan Timbalan Panglima Tentera Darat Australia, Mej Jeneral Rick Burr. Latihan ini diadakan dalam dua segmen iaitu Segmen Dinamik dan Pameran Statik serta Segmen Tembakan Tidak Langsung dengan objektif untuk mempamerkan keupayaan manuver, kuasa tembakan dan impak ke atas sasaran sistem persenjataan yang terdapat di dalam inventori TDM termasuk keupayaan pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia.

Sumber: Panggilan Pertiwi / Malaysia Military Power / Rentaka

Reply

Use magic Report

Post time 24-11-2017 11:48 PM | Show all posts
Eks NCO TD Uji Keberkesanan Sistem NCO



Saiful Fazley Rusli 16/05/2017 3 Div


Tentera Darat Malaysia telah menguji keberkesanan Sistem Network Centric Operation melalui pelaksanan Eks NCO TD 2017 yang diadakan di kawasan Kuantan, Pahang dan Dungun, Terengganu selama tiga hari bermula dari 10 hingga 12 Mei 2017.

Eksesais ini bertujuan untuk melihat sejauh mana peralatan sistem baharu dalam perkhidmatan yang membawa kepada pengintegrasian angkatan sepenuhnya dan Markas Briged Keempat Infantri Malaysia Mekanize (MK 4 Bgd Mek) dilantik sebagai pelaksana eksesais yang mana berjaya mengenalpasti keberkesanan serta kekurangan sistem ini yang perlu diberi penambahbaikan pada masa akan datang.

Majlis penutup eksesais disempurnakan oleh Panglima 4 Bgd Mek, Brig Jen Dato’ Md Din Hj Abu di Felda Bukit Sagu yang melibatkan 26 pegawai dan 88 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta wakil dari Syarikat Sapura.

Panglima 4 Briged Mekanize, Brig Jen Datuk Md Din Abu berkata, eksesais NCO Tentera Darat yang dijalankan itu bertujuan untuk melihat sejauh mana peralatan sistem baru dalam perkhidmatan yang membawa kepada pengintegrasian angkatan sepenuhnya.

Dalam ucapan Panglima 4 Bgd Mek semasa majlis penutup, beliau mahukan eksesais tersebut menjadi medan untuk melatih pegawai dan anggota dalam merancang pelaksanaan gerakan berpandukan protap briged sedia ada.
“Saya melihat, eksesais yang diadakan dapat mempertingkatkan kebolehan pemerintah di peringkat kompeni dan batalion dalam merancang penggunaan aset-aset yang ada di dalam unit gabungan membabitkan peperangan konvensional selain penggunaan teknologi dapat dinilai keberkesanannya serta dapat mengenal pasti kelemahan sistem NCO yang digunakan,” katanya.

Turut hadir semasa penutup eksesais, Ketua Staf Am MK 4 Bgd, Lt Kol Mat Khalid Hamzah.

Sumber:
https://malaysiamilitarypower.bl ... nan-sistem-nco.html
Reply

Use magic Report

Post time 24-11-2017 11:51 PM | Show all posts
ESScom Aktif Laksana Operasi Bersepadu Khas Kesan Dan Hapus Elemen Jenayah



May 26, 2017 20:24 PM

LAHAD DATU, 26 Mei (Bernama) -- Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) aktif melaksanakan operasi bersepadu khas (OBK) bagi menghapuskan elemen jenayah termasuk mengesan kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan militan Daesh daripada bertapak di daerah ini.

Komander ESSCom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata operasi membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa termasuk polis, tentera, maritim, imigresen serta pihak berkuasa tempatan ialah bagi memastikan perairan dan daratan negeri selamat.

"OBK yang dijalankan ini ialah sejajar dengan perkembangan semasa di selatan Filipina berikutan pengisytiharan undang-undang tentera di wilayah Mindanao oleh kerajaan Filipina.

"OBK ini untuk memastikan kawalan keselamatan di sempadan perairan antara Malaysia-Filipina diperketatkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kerjasama dari aspek perisikan dan pertukaran maklumat keselamatan dengan pasukan keselamatan negara Filipina juga giat dilaksanakan bagi memantau perkembangan di selatan negara itu.

Sementara itu, Abdul Bari berkata OBK siri 3 yang dijalankan semalam bermula dari 4.30 pagi hingga 10 pagi itu telah menahan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) di enam perkampungan di sekitar Felda Sahabat dekat sini.

Katanya, kesemua PATI warga Filipina berusia 16 hingga 49 tahun itu ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa oleh pasukan keselamatan.

"Dalam operasi itu, seramai 450 individu diperiksa di sekitar Kampung Tambisan, Kampung Long Patau, Kampung Lok Buani, Kampung Tanjung Labian Darat, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Tegupi Laut," katanya.

Operasi yang diselaras ESSCom itu disertai 530 pegawai dan anggota terdiri daripada pelbagai agensi penguatkuasa.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report

Post time 24-11-2017 11:52 PM | Show all posts
Selamat HUT ke 59 TUDM



LABUAN - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bertekad mempertingkatkan aset bagi menjadikannya sebuah kuasa udara yang dominan.

Panglima TUDM, Datuk Seri Affendi Buang berkata, TUDM sentiasa mempunyai pelbagai idea dan kaedah untuk mendapatkan keperluan serta penambahbaikan aset terbaik.

Beliau berkata, TUDM antara lain turut merancang untuk membeli pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA).

"Apa yang TUDM ada sekarang antaranya seperti pesawat pejuang Sukhoi, Hawk dan FA 18 Hornet yang mana TUDM akan mempertingkat kemampuan dan juga menentukan keupayaan pesawat berkenaan tidak menurun.

"Ini akan memperlihatkan aset TUDM sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk operasi yang akan diberikan dengan menunjukkan kecekapan dan kesediaan TUDM dalam menjaga ruang udara angkasa negara," katanya kepada pemberita pada Hari Bersama Media sempena sambutan Hari TUDM Ke-59 di sini.

Affendi berkata dengan keadaan geopolitik dan geostrategik semasa, ia memerlukan ketumbukan kuasa udara yang mantap dan boleh dilancarkan di barisan hadapan negara.

"Kuasa udara TUDM boleh menjadi aspek keseimbangan dalam menentukan keselamatan dan kestabilan negara yang sentiasa dipantau dan dipelihara oleh TUDM daripada anasir luar yang ingin menceroboh ruang udara negara ini," katanya. - Bernama
Reply

Use magic Report

Post time 24-11-2017 11:53 PM | Show all posts
10 Briged (Para) melaksanakan Ex Eagle Swift siri 5/17.



MELAKA. Seramai 42 orang pegawai dan anggota telah terlibat dalam Ex Eagle Swift pada 14 - 15Jun 2017 bertempat di Zon Gugur, Kem Terendak, Melaka dengan menggunakan pesawat CN 235 TUDM (No 1 Skn TUDM). Eks ini merupakan siri latihan lanjutan Terjun Bebas bagi meningkatkan Para Readiness serta kemahiran taktikal anggota Komp PANDURA (Para). Selain itu, ia sebagai latihan kepada penerjun 10 Bgd (Para) sebagai persiapan pertandingan Payung Terjun ATM yang dijangka pada Sep 17. Latihan terbahagi kepada 2 iaitu penerjunan ketepatan Military Parachute bersama senjata dan alatan serta ketepatan Sport Parachute.

-MK 10 Bgd Para-

Sumber:
https://malaysiamilitarypower.bl ... nakan-ex-eagle.html
Reply

Use magic Report

Post time 24-11-2017 11:56 PM | Show all posts
10 Briged (Para) melaksanakan Ex Tiger Leap Siri 4/17 Sempena Ramadhan Jump.







Johor: Seramai 210 orang telah terlibat dalam Ramadhan Jump pada 13 Jun 2017 bertempat di Zon Gugur Simpang Renggam, Johor dengan menggunakan pesawat C 130 Hercules. Latihan ini merupakan siri latihan lanjutan penerjunan statik yang bertujuan memastikan status Para Readiness di kalangan pegawai dan anggota 10 Briged (Para) sentiasa di tahap yang tertinggi. Latihan turut disertai oleh 4 orang anggota pranita 10 Bgd Para.

Sumber:
https://malaysiamilitarypower.bl ... nakan-ex-tiger.html
Reply

Use magic Report

Post time 24-11-2017 11:58 PM | Show all posts
Latihan Siapsiaga 10 Briged (Para).





MELAKA: Markas Briged Ke-10 Infantri Malaysia (Para) telah melaksanakan latihan siapsiaga dengan melibatkan Leading Parachute Battalion Group (1 x LPBG) di Padang Kawad 8 RRD Para pada 28 Jul 17.

Latihan dilaksanakan bertujuan menilai persiapan pasukan sebelum diaturgerakkan dimana-mana kawasan konflik samada di dalam mahupun aturgerak luar Negara.

- MK 10 Bgd (Para)

Sumber:
https://malaysiamilitarypower.bl ... 10-briged-para.html
Reply

Use magic Report

Post time 25-11-2017 12:01 AM | Show all posts
10 Bgd Para Anjur EKS CAMAR PARA






MELAKA: Seramai 50 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari Markas Briged Ke-10 Infantri Malaysia (Para) terlibat dalam Eksesais Camar Para pada 29 Jul 17.

Objektif Eksesais ini adalah untuk melatih dan menguji kemahiran anggota yang terlibat dalam pengendalian radio dan Data Terminal serta menguji aset yang telah diperuntukan bagi semua pasukan di bawah formasi 10 Bgd (Para) selain memberi pendedahan kepada semua peringkat anggota dalam konsep atur gerak sebenar.

Pasukan yang terlibat adalah 10 Skn Rejimen Semboyan Diraja (Para) selaku pasukan penganjur dan anggota semboyan dari semua pasukan di bawah naungan formasi 10 Bgd (Para).

Sumber:
https://malaysiamilitarypower.bl ... eks-camar-para.html
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 25-11-2017 12:04 AM | Show all posts
Latihan Air Assault-Keris Strike Mantap







JOHOR: Kumpulan pelaku Eks Keris Strike mempamerkan mutu kecemerlangan yang unggul semasa melaksanakan latihan air assault yang turut disaksikan oleh Panglima 10 Bgd Para, Brig Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku di sekitar Sembrong pada 3 Ogos 2017.

Latihan ini melibatkan gabungan komposit yang terdiri daripada Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja Para (17 RAMD Para), Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja Para (18 RAMD Para), Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja Para (8 RRD Para), Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) serta Grup Gerak Khas (GGK) bertujuan untuk menguji keupayaan pasukan yang terlibat dalam melaksanakan peranan masing-masing sebagaimana peperangan sebenar.

Objektif eksesais adalah untuk meningkatkan tahap interoperability diantara trup yang mengambil bahagian dengan menambah pengetahuan taktikal dan prosedur operasi staf diantara kedua-dua negara melalui percambahan pengetahuan selain dapat melatih prosedur postad di antara pemerintah dan staf dalam eksesais gabungan.

Sepanjang latihan dilaksanakan sebanyak tujuh pesawat UH-60 Blackhawk milik USARPAC, empat pesawat Agusta dan sebuah pesawat S61A-4 Nuri telah terlibat secara langsung memainkan peranan sebagai pengangkutan, bantuan tembakan perlindungan dan Medical First Responder (MFR).

Latihan tersebut diakhiri dengan upacara penyampaian sijil dan cendera hati serta ucapan Panglima 10 Bgd Para serta ucapan timbal daripada 2-25th Aviation Regiment Battalion Commander, LTC Elizabeth A.Marin.

Turut hadir Pegawai Memerintah Rejimen 881 PUTD, Lt Kol Mohamad Nazri Ahmad dan Pegawai Kanan Tentera Darat.

Gambar: Kapt Aminin Hafizhin Minhad, Kapt Ahmad Farhan Hassan dan SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan

Sumber:
https://malaysiamilitarypower.bl ... -strike-mantap.html
Reply

Use magic Report

Post time 25-11-2017 12:06 AM | Show all posts
Teknologi VIRTSIM Pertingkat Kemahiran Pertempuran Anggota TD



NEGERI SEMBILAN: Sejarah Tentera Darat (TD) terukir lagi apabila Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim merasmikan Immersive Virtual Training Simulator (VIRTSIM) yang merupakan teknologi latihan peperangan mengunakan Simulator Arena Realiti Maya 3D bagi membolehkan anggota TD melaksanakan latihan pertempuran seolah berada dalam situasi pertempuran sebenar di Pusat Olah Perang TD pada 14 Ogos 2017.

VIRTSIM merupakan teknologi yang menyediakan latar belakang persekitaran latihan yang dapat diubah-ubah mengikut kehendak latihan berasaskan realiti maya yang dapat memberi latihan kepada anggota TD berlatih dalam apa juga keadaan iklim, bentuk muka bumi dan limitasi logistik dimana teknologi ini membolehkan segala masalah ini diatasi.

Sistem ini membolehkan anggota TD mengasah kemahiran taktikal ketenteraan, meningkatkan kebolehsuaian terhadap suasana pertempuran dan mencapai objektif latihan yang ditetapkan dengan kesemua bentuk latihan dapat dibuat di arena realiti maya bersaiz gelanggang bola keranjang.

Teknologi realiti maya ini merupakan teknologi keluaran Motion Reality, Inc dari Amerika Syarikat yang berjaya mencipta rupa bentuk badan manusia secara maya seiring dengan pergerakan semasa di alam nyata dengan menangkap gerakan nyata dan disalurkan dalam bentuk data yang dinamik secara saintifik.

Antara kelebihan sistem ini, ianya mengunakan ruang yang terhad dengan anggota akan memakai sistem pengesan khas dan Head Mounted Display supaya mereka boleh menyelami sepenuhnya persekitaran latihan realiti maya 3D dan pada masa sama dapat menukar senario pertempuran dalam beberapa minit melalui program yang ditetapkan serta dapat merekod setiap sesi latihan dari kesemua sudut untuk dipertonton semula.

Selain itu, latihan dapat dilaksanakan dalam apa jua keadaan dan selamat kerana mengurangkan risiko kecederaan kepada anggota dimana lapan hingga 12 anggota dapat melaksanakan latihan pertempuran selama satu jam untuk satu senario yang meliputi 48 senario pertempuran.

Dalam sidang akhbar, PTD mengucapakan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan berasa amat bangga dengan perolehan sistem ini kerana didunia Malaysia merupakan negara ketiga yang mengunakan sistem ini selepas Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.


“Teknologi ini adalah teknologi terkini yang dapat membantu anggota TD memahirkan lagi kemahiran pertempuran individu serta kumpulan yang mana pada masa sama dapat menjalani latihan dari pelbagai sudut dalam apa jua keadaan.

“Jika situasi latihan pertempuran seorang anggota memerlukan 10 kali latihan untuk memahirkan diri dengan kos latihan sebenar yang banyak tetapi dengan adanya sistem ini berkemungkinan hanya memerlukan lapan kali latihan dan hanya dua kali latihan sebenar dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kos setiap latihan,” tegas PTD.



Sumber:
https://malaysiamilitarypower.bl ... gkat-kemahiran.html
Reply

Use magic Report

Post time 25-11-2017 12:08 AM | Show all posts
Kejayaan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) dan Kapal Auksiliari Tun Azizan di Sabah



"Statistik kita menunjukkan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) telah berjaya menyiasat 800 buah bot dengan 34 daripadanya telah ditahan.

"Manakala Kapal Auksiliari Tun Azizan ( KA TAZ) telah memeriksa 1,457 buah bot dan menahan 54 daripada jumlah itu.

"Selain itu KA TAZ juga telah menggagalkan tiga cubaan merampas bot tunda, SSE Charlotte dan BT Fordeco 97 pada bulan Julai dan Oktober tahun lalu serta sebuah kapal dagang MV Phu An 268 pada Mac lalu,"


Pada 8 Ogos lalu, KA TAZ yang beroperasi di perairan Sandakan bersama Pasukan Aturgerak (QRF) Tentera Darat telah berjaya memintas dan menahan 19 pendatang tanpa izin.

"Kesemua yang ditahan ini kita syaki terbabit dengan unsur-unsur militan berdasarkan kepada risikan yang telah dijalankan."

Petikan dari PTL

Sumber: BH online
Reply

Use magic Report

Post time 25-11-2017 12:09 AM | Show all posts
Air traffic control system Royal Malaysian Air Force



KUALA LUMPUR, Aug 18 — The existing air traffic control system operated by the Royal Malaysian Air Force (RMAF) needs to be upgraded to better manage the country’s airspace which is expected to become more congested in the coming years, says RMAF chief General Datuk Seri Affendi Buang.

“I can foresee that in the next 10 years our airspace will be crowded as is the case in the United States and Europe right now... very crowded, and this requires more stringent air traffic rules.

“Therefore, our (RMAF’s) existing airspace control system must be upgraded to provide safe and efficient air transport regulations,” he told reporters after launching the National Transformation 2050 (Defence) (TN50D) dialogue at the Kuala Lumpur Air Base here, today.

With regard to TN50D, he hoped that RMAF’s professionalism could be enhanced in the context of human resource capabilities and welfare.

“It’s important for RMAF personnel to be more committed, motivated and be part of a caring society,” he said.

Earlier, during the dialogue, Affendi said TN50D was a good effort to shape a more secure future for Malaysia in the next 30 years.

He said TN50D also complemented the five main thrusts of the Defence Ministry introduced by Defence Minister Datuk Seri Hishammuddin Hussein, namely preparedness of assets, national security, welfare of current and veteran servicemen, defence diplomacy and transformation of the National Service Training Programme.

The dialogue today was attended by some 500 RMAF officers and personnel. — Bernama
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

9-5-2024 01:56 AM GMT+8 , Processed in 0.060821 second(s), 39 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list