CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4288|Reply: 3

Penyelam ikan atau tuhun daing

[Copy link]
Post time 5-4-2009 08:29 AM | Show all posts |Read mode
Berkorban demi sesuap nasi    Oleh Hassan Omar
bnhnews@bharian.com.my               

     

                   Tuhun daing menyambung hidup dengan menyelam di laut dalam menggunakan tiub kereta untuk bekal oksigen

MENYELAM antara 40 hingga 57 meter di laut dengan hanya menggunakan tiub getah yang membekalkan oksigen daripada alat pemampat udara atau kompresor pendingin hawa kereta untuk mencari udang galah,ikan dan siput mungkin agak asing bagi kebanyakan nelayan di negaraini, khususnya di Semenanjung.

Putaran enjin 13 kuasa kuda yang disambungkan pada kompresor pendingin hawa kereta menghasilkan oksigen yang dimampatkan sebelum disalurkan ke balang gas berukuran kira-kira satu meter yang kemudiannya disalurkan ke tiub sepanjang antara 40 hingga 50 meter.
        
     Penyelam ikan atau tuhun daing dalam bahasa Ubian(satu daripada 33 etnik di Sabah) adalah nelayan tradisional di PulauMantani, dekat Kota Belud, Sabah. Pekerjaan itulah yang menampung kehidupan keluarga mereka.

Dengan mengikat tiub getah pada pinggang dan menggigit hujung tiub itu, penyelam akan menyedut oksigen daripada tiub dan menyelam antara 40 hingga 50 meter untuk menangkap udang galah atau menembak ikan bersaiz besar antara dua hingga 20 kilogram (kg), selain menjadikan siput kima sebagai hasil laut untuk keluarga.

Tuhun daing yang berseluar pendek dan baju T, hanya memakai google dan kaki itik yang diperbuat daripada plastik keras (tong ikan yang dipotong dalam bentuk kaki itik) yang dipakukan pada getah tiub motosikal (untuk disarungkan pada kaki).
                              


                        Mereka akan mengikat tiub getah ke pinggang beberapa kali bagi memudahkan ditarik oleh rakan yang berada dalam perahu jika berlaku sesuatu tidak diingini. Dengan menggigit hujung tiub, tuhun daing menghela nafas ketika menyelam di dasar laut.

Berbekalkan senapang menembak ikan berpeluru sebatang besi tahan karat sepanjang kira-kira satu meter yang hujungnya berbentuk anak panah, tuhun daing juga membawa jaring kecil berbentuk bakul diikat pada pinggang masing-masing, dijadikan tempat menyimpan ikan yang ditembak.

Tuhun daing cekap mengesan ikan di dasar laut. Jenahak,merah, gerepoh, kerapu, senangin, tetambak, ketak lantai dan pelbagaijenis ikan bersisik yang lain sering menjadi buruan mereka keranaharganya lebih tinggi.

Dengan berenang di celah batu karang, tuhun daing bijak bersembunyi sebelum menunggu jenahak atau merah atau ikan yang lain keluar dari `rumah' mereka. Sebaik saja ikan jelas kelihatan, tuhun daing melepaskan tembakan yang ditujukan ke kepala ikan.

Lazimnya, tuhun daing menembak ikan bersaiz besar antara tiga hingga 20 kilogram (kg) dan kadangkala mencecah 30 kg.

Jika ikan yang ditembak terlalu besar, tuhun daing harus bersedia mengejar ikan sebaik saja tembakan dilepaskan. Tujuannya untuk menangkap peluru senapang sebelum dilarikan ikan. Dengan memegang kemas peluru berkenaan, ikan tidak mampu melarikan diri terlalu jauh hingga sukar dikesan.

Lazimnya, tuhun daing mampu bertahan kira-kira sejam di dasar laut. Setiap satu jam, mereka akan menarik tiub getah berkenaan sebagai isyarat rakan di dalam perahu menariknya ke dalam perahu.

Selepas naik dalam perahu, tuhun daing perlu melepaskan lelahdan tugas berkenaan disambung rakan lain. Setiap kali rakan yang sudah menyelam naik ke dalam perahu, tuhun daing yang lain pula mengambil alih.

Bukan saja ikan, udang galah juga banyak bersembunyi dalam batu karang. Tuhun daing akan berusaha menarik belalai udang galah hingga ia keluar daripada persembunyiannya.

Begitu juga dengan siput kima. Selain isinya yang lazat bak ayam, cengkerang siput kima juga boleh dijadikan bahan mendapatkan wang bagi menyara anak isteri.

Tuhun daing bukanlah penyelam 搆osong
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 5-4-2009 10:41 AM | Show all posts
respek la ngan diorang nih...tang ilmu kunci mulut ikan tu rasa cam best je..

rasanye tangkap ikan cara ni tak menyebabkan kepupusan kan?

diorang pilih ikan yang besar2 je.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-4-2009 10:35 AM | Show all posts
Lumpuh seketika pengalaman pahit tuhun daing
Oleh Hassan Omar
bhnews@bharian.com.my



TUHUN daing atau penyelam ikan berhadapan risiko lumpuh akibat kelengkapan yang tidak mencukupi terutama alat membekalkan oksigen kepada mereka.

Bagi tiga tuhun daing, Rumi Aziz, 32; Abdul Aziz Ujali, 36; dan Ahmad Titing, 34; pengalaman lumpuh akibat menyelam menggunakan tiub getah yang menyalurkan oksigen dihasilkan daripada penggunaan kompresor alat pendingin hawa kereta, adalah pengalaman pahit mereka.

Bagaimanapun, tuntutan kelangsungan hidup isteri dan anak-anak menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan, selain memperjudikan nasib setiap kali menyelam untuk menembak ikan, menangkap udang galah dan mengutip siput kima.

Rumi menghambakan diri kepada laut sejak berusia 13 tahun, pada mulanya berjinak-jinak dengan menyelam tanpa menggunakan tiub sedalam kira-kira empat meter. Apabila usia menjangkau 16 tahun, Rumi sudah mampu menyelam sedalam kira-kira 15 meter.

"Pada Mac 2001 saya ditimpa malang, Ketika itu saya turun ke laut bersama empat kawan yang semuanya boleh menyelam. Saya dan dua kawan turun menyelam. Dua lagi tunggu dalam perahu. Saya menyelam kira-kira 49 meter.

"Tiba-tiba rasa pening. Saya sedut oksigen kuat-kuat tetapi tiada udara yang masuk dalam mulut. Kompresor rosak... Nasib baik saya nampak kawan. Saya berenang ke arah kawan itu dan tangkap tiub getah dia, lalu bernafas. Kawan saya panik.


Abdul Aziz Ujali (kiri) dan Ahmad Titing pernah diserang lumpuh akibat menggunakan hos ketika menyelam di dasar laut.

"Kawan saya tarik tiub getah saya untuk meminta kawan dalam perahu menarik saya ke atas. Ketika itu saya tidak sedar apa yang berlaku. Apabila sedar, saya sudah berada dalam perahu tetapi seluruh badan saya tak boleh bergerak.

"Kawan-kawan saya kata saya pengsan 10 minit. Mereka menyedarkan saya dengan menampar-nampar pipi saya. Nasib baik saya tak lumpuh," katanya.

Pada Jun 2003, Rumi sekali lagi ditimpa malang. Ketika itu, nelayan muda berkulit gelap dan berambut keriting itu menyelam kira-kira 40 meter. Ketika itu, kehadiran 12 ekor yu di sekeliling sebiji batu karang besar tidak dihiraukannya. Seekor udang galah yang bersembunyi dalam batu karang lebih menarik minat.

"Sebelum itu saya sudah tembak seekor ikan batu. Saya letakkan di atas batu karang. Mata saya tertumpu pada belalai udang galah. Saya tarik belalai udang galah seberat kira-kira satu kg keluar daripada batu karang. Saya masukkan dalam jaring yang diikat pada pinggang.

"Semasa hendak mengambil semula ikan batu, tiba-tiba seekor ikan yu sebesar badan saya dan sepanjang kira-kira satu setengah meter menggigit ikan batu tetapi tergigit jari kelingking tangan kiri saya. Sebelah kiri badan saya terasa kebas. Cepat-cepat saya tarik tiub. Kawan dalam perahu menarik saya naik ke dalam perahu.

"Hingga sekarang sebatang gigi yu masih ada dalam jari kelingking saya," katanya.

Bagi Abdul Aziz, pengalaman menjadi tuhun daing sejak berusia 21 tahun sudah cukup untuk mengajarnya mengenai kepahitan mencari sesuap nasi untuk isteri dan tujuh anak.

Tragedi pada November 2001 masih terpahat dalam memori. Ketika itu, bersama tujuh nelayan lain menyelam di Laut China Selatan untuk menembak ikan, menangkap udang galah dan mengutip siput kima.

"Selepas kali kelima menyelam, tiba-tiba saya berasa badan tidak ada tenaga. Kepala berasa kosong. Saya menggagahkan diri menarik tiub meminta kawan di atas bot menarik saya ke atas. Setibanya di atas bot, saya terus rebah. Saya tidak dapat menggerakkan seluruh anggota tubuh saya. Bagaimanapun, saya masih dapat melihat dan mendengar.

"Waktu itu saya fikir saya akan lumpuh. Dunia terasa gelap. Menitis air mata saya mengenangkan isteri dan anak-anak jika hidup tanpa saya.

"Juragan (taikong) bot cepat-cepat ikat semula badan saya dengan tiub. Dia dan seorang lagi kawan, membawa saya terjun semula ke dalam laut sedalam kira-kira 20 meter. Mereka membantu saya menggerakkan tangan dan kaki seperti bersenam dalam laut.

"Tujuannya untuk menstabilkan semula tekanan darah saya yang sudah naik ke kepala. Satu jam saya dibantu menggerakkan tangan dan kaki. Perlahan-lahan saya rasa badan saya ada tenaga semula," katanya.

Tuah menyebelahi Abdul Aziz. Selepas dibawa naik ke atas bot, beliau sudah mampu menggerakkan tangan dan kaki tetapi belum mampu berdiri. Dengan dibantu awak-awak yang lain, beliau akhirnya mampu berdiri.

Bagi Ahmad pula, pengalaman lumpuh selama tiga bulan pada pertengahan 2001 seolah-oleh merentap semangatnya untuk menyambung semula tugas sebagai tuhun daing.

Ketika itu dia menyelam kira-kira 42 meter bersama seorang rakan menggunakan tiub. Bagaimanapun, selepas beberapa kali menyelam dan naik semula ke atas perahu dengan membawa ikan, seluruh tubuhnya terasa tidak bermaya.

"Ketika itu saya sedar saya hampir lumpuh. Seluruh badan tidak boleh bergerak tetapi telinga saya masih mampu mendengar dan mata masih boleh melihat.

"Selepas dibawa pulang ke rumah, saya masih tidak mampu menggerakkan badan. Tiga hari saya terpaksa dibantu isteri saya untuk duduk ketika dia menyuapkan makanan. Selepas tiga hari, saya sudah boleh berdiri tetapi terpaksa dibantu isteri.

"Lama kelamaan, saya sudah boleh berjalan walaupun badan terasa amat lemah. Tiga bulan saya terpaksa berjalan menggunakan tongkat," katanya.

Apa juga rintangan akan ditangani dengan tabah kerana tugas sebagai tuhun daing tidak mungkin ditinggalkan kerana kemiskinan memaksa nelayan tradisional di Pulau Mantanani meneruskan hidup dengan bergantung rezeki kepada hasil laut.

INFO: Tuhun Daing (Penyelam Ikan)

# Menggunakan tiub sepanjang kira-kira 60 meter

# Bernafas dengan menggunakan tiub yang disambung pada kompresor alat pendingin hawa kereta

# Mampu menyelam sedalam 60 meter

# Mampu bertahan antara satu hingga dua jam dalam laut

# Menembak ikan menggunakan senapang kayu yang pelurunya diperbuat daripada besi tajam sepanjang satu meter.

INFO: Pulau Mantanani

# Kira-kira 20 batu nautika dari Kuala Rampayan, Kota Belud

# 1,100 penduduk

# 200 nelayan tradisional

# Majoriti etnik Ubian

# Kebanyakan nelayan menyelam untuk menangkap ikan

# Kira-kira 98 peratus penduduk hidup di bawah paras kemiskinan.
Reply

Use magic Report

Post time 13-4-2009 10:14 PM | Show all posts
40 ke 50 meter kalau tak ada kelengkapan pakaian bahaya woi... tekanan air bawah tu boleh berdarah teling hidung semua bila naik...
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

4-5-2024 10:19 AM GMT+8 , Processed in 0.567372 second(s), 29 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list