CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 10620|Reply: 4

GHAZAL

[Copy link]
Post time 7-12-2008 09:23 AM | Show all posts |Read mode
Seni Ghazal

Alam seni lagu di Malaysia mengandungi pelbagai rentak dan corak atau irama. Setengah pihak membahagikan lagu-lagu di Malaysia khususnya lagu-Iagu Melayu kepada dua kumpulan atau jenis iaitu lagu-Iagu berirama langgam dan satu lagi dinamakan lagu-Iagu berirama asli. Dalam kumpulan lagu-Iagu berirama asli terdapat pula suatu corak irama yang dinamakan Irama Ghazal. Untuk kepentingan rencana ini disebut sebagai Seni Ghazal.

Sebenarnya lagu-Iagu berirama ghazal adalah lagu-Iagu Melayu asli juga. Perbezaan antara keduanya terletak pada cara lagu-Iagu itu dinyanyikan. Selain daripada itu lagu-Iagu Melayu berirama ghazal diiringi oleh muzik khas yang dinamakan Muzik atau Pancaragam Ghazal.

Lagu-Iagu Melayu asli yang terkenal seperti lagu-Iagu Seri Mersing, Siti Payung, Patah Hati, Laksamana Mati Dibunuh, Kuala Deli, Seri Banang dan banyak lagi, berbeza gaya atau iramanya jikalau didendangkan mengikut rentak asli dibandingkan dengan cara irama ghazal.

Gaya dan corak yang nyata dalam permainan Seni Ghazal ialah pada ciri-ciri bentuk dan gaya persembahannya. Seni Ghazal mengandungi unsur-unsur muzik dan nyanyian cara Hindustan.

Seperkara lagi yang harus diketahui tentang seni ghazal ialah terdapat dua jenis permainan muzik dan corak lagu yang berbeza. Seni Ghazal yang diiktiraf sebagai suatu permainan muzik yang tersendiri ialah yang memainkan lagu-lagu Melayu asli yang disebutkan di atas.

Jenis yang satu lagi lebih dikenali dengan namanya Ghazal Parti. Muzik ghazal jenis yang kedua ini terdapat di daerah utara Pantai Barat Semenanjung iaitu di Kepala Batas, Pulau Pinang dan terdapat juga di Kedah. Pancaragam ini lazimnya membawakan lagu-Iagu berirama Padang Pasir.

Permainan pancaragam berirama ghazal yang disebutkan dalam rencana ini ialah Seni Ghazal yang berkembang di Johor Darul Ta'azim. la merupakan suatu ciri kesenian daerah yang paling utama di negeri tersebut. Boleh dikatakan setiap daerah dinegeri Johor mempunyai kumpulan ghazal, bahkan ada daerah yang mempunyai beberapa buah kumpulan ghazal. Allahyarham Tuan Haji Musayang lebih dikenali dengan panggilan Pak Lomak dianggap oleh peminat-peminat ghazal dan masyarakat umum di Johor sebagai tokoh utama atau bapa ghazal di negeri itu.

Menurut Allahyarham Pak Lomak, permainan ghazal Melayu adalah suatu cara permainan bunyi-bunyian dan nyanyian sebagai hiburan di dalam kesenian Melayu yang ditiru menurut cara orang Hindustan. Dalam bahasa Hindustan permainan ghazal disebut Gamat.

Pancaragam Gamat menggunakan empat jenis alat bunyian iaitu Syaringgi, Sitar, Harmonium dan Tabla. Syaringgi rupanya seperti tongkang kayu, bertali tiga, dimainkan dengan digesek dengan penggeseknya. Sitar berupa seperti buah labu, diberi berbatang panjang,talinya tujuh dipetik dengan pemetiknya. Harmonium adalah serupa dengan harmonium yang digunakan dalam pancaragam ghazal, demikian juga tabla.

Gamat dalam kesenian Hindustan di India pada masa dahulu selalu diadakan dimajlis-majlis yang besar-besar lagi terhormat. Seorang penyanyi perempuan yang handal dan terkenal biasa dibayar hingga seribu rupiah pada satu malam kerana menyanyi dalam permainan Gamat. Gamat juga dimainkan dalam upacara-upacara ibadat mengikut kepercayaan agama mereka.

Pada peringkat awalnya Seni Ghazal dalam kesenian Melayudi Johor hanya menggunakan dua jenis alat muzik yang digunakan dalam permainan Gamat iaitu harmonium dan tabla. Alat syaringgi digantikan dengan biola dan sitar digantikan dengan gambus. Dalam perkembangan  seterusnya, pancaragam ghazal ditambah dengan gitar dan satu dua alat muzik yang lain.

Tentang lagu-Iagu yang dibawa oleh pancaragam ghazal jelas dipengaruhi oleh irama lagu-Iagu Hindustan sama ada padatingkah atau tempo, laghamnya, renek dan senjuhnya. Adapun bahasa yang digunakan dalam nyanyian adalah mengikut loghat Johor-Riau. Seni katalagu pada umumnya ialah pantun dan ada juga digunakan syair terutamanya apabila membawakan lagu-Iagu yang rancak.

Lagu-Iagu yang dimainkan oleh pancaragam ghazal bukannya lagu-Iagu Melayu asli sahaja. Ia memainkan juga lagu-lagu berirama yang lain seperti irama joget, zapin, masri dan sebagainya. Pendeknya pancaragam ghazal boleh membawakan sebarang jenis dan rentak lagu seperti irama yang lemah gemalai, lembut merayu, rancak dan sebagainya.

[ Last edited by  Navarrus at 7-12-2008 09:30 AM ]

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-12-2008 09:24 AM | Show all posts
Bagaimanapun jua oleh sebab alat-alat muziknya demikian rupa, menjadikan pelbagai jenis lagu yang dimainkannya akan terasa juga unsur-unsur kelembutan dan keharuannya. Sebaliknya, apabila dimainkan lagu-Iagu yang rancak, rentak dan tingkah pukulan tablanya, menjadikan lagu-Iagu yang dibawanya itu bertambah segar keriangannya.

Meskipun Seni Ghazal merupakan kesenian daerah namun peranan jasanya dalam perkembangan lagu-Iagu Melayu asli dan juga puisi pantun tidaklah kecil. Banyak lagu-Iagu Melayu asli yang terkenal seperti lagu-Iagu Seri Mersing, Gunung Banang, Gunung Panti, Seri Banang, Seri Mahligai, Pak Ngah Balik dan lain-lain lagi adalah hasil ciptaan ahli-ahli Seni Ghazal.

Sehubungan dengan itu dikarang pula pantun-pantun yang tinggi mutunya dan indah pula bahasanya. Pantun-pantun itu dinyanyikan dalam lagu-Iagu ciptaan mereka. Umpamanya dalam lagu Embun Berderai lazim dinyanyikan pantun :

Tiup api embun berderai,
Patah galah di haluan perahu,
Niat hati tak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapayang tahu.

Untuk menyanyikan lagu Patah Hati sering digunakan pantun :

Patah hati terus merajuk,
Merajuk sampai ke hutan belukar,
Hati panas kembali sejuk,
Ibarat burung kembali ke sangkar.

Lagu Melayu asli Pulau Pinang dinyanyikan dengan pantun :

Pulau Pi sang rumah api,
Pedoman kapal belayar malam,
Kalau tak dapat kehendak hati,
Alangkah remuk kasih terpendam.

Apabila didendangkan lagu Seri Mersing yang amat terkenal itu lazimnya penyanyi akan memulakan nyanyiannya dengan pantun :

Seri Mersing lagu Melayu,
Dikarang oleh biduan dahulu,
Hatiku runsing bertambah pilu,
Bagaikan kaca terhempas ke batu.

Pantun untuk nyanyian lagu Seri Sarawak iaitu satu daripada lagu Melayu asli yang diminati ramai menyebutkan :

Sayang Sarawak sungainya sempit,
Buah rengas lambung-lambungan,
Hendak dibawa perahuku sempit,
Tinggallah intan tinggal junjungan.

Apabila dinyanyikan lagu Laksamana Mati Dibunuh iaitu nama lagunya mengingatkan kita kepada sejarah silam yang menceritakan tentang kisah Laksamana Hang Tuah, pantun yang didendangkan adalah :

Sayang laksamana mati dibunuh,
Mati ditikam tombak menteri,
Ragai menatang minyak yang penuh,
Makin kutatang nak tumpah lagi.

Salah satu lagu yang menarik pantunnya ialah lagu Seruling Buluh. Lagu ini belum berapa lama usianya. Pantun yang dinyanyikan :

Seruling buluh panjang seruas,
Jatuh ke kaki kena sembilu,
Sekali kupandang rasa tak puas,
Hendak diulang berasa malu.

Bagaimanapun menyanyikan lagu-Iagu Melayu asli termasuk berirama ghazal boleh digunakan sebarang pantun, ertinya tidak mesti menggunakan pantun yang telah dikarang khas untuk lagu yang berkenaan. Beratus-ratus pantun yang baik mutunya telah dikarang oleh ahli-ahli seni ghazal terutama para penyanyinya.

Pancaragam Ghazal memainkan juga lagu-Iagu rancak atau yang berirama sederhana. Biasanya lagu-Iagu jenis ini dinyanyikan dengan syair. Pada masa dahulu salah satu lagu yang amat terkenal dimainkan oleh pancaragam ghazal berjudul Wahai Dunia. Senikatanya berbentuk syair :

Ahai dunia hidup tak lama,
Mati nan habis lana semuanya,
Amal yang saleh itulah dianya,
Mengadap Tuhan Rabbi Rabbana.

Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga akan tumbuhnya,
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Dunia ibarat bangkai yang busuk,
Istana syaitan suka merasuk,
Jika dadamu sudah dimasuk,
Iman yang nipis robek dan pesuk.

Dunia umpama sebuah jamban,
Busuk hancing sebagai reban,
Siapa menurut nafsu yang heban,
Dosa yang berat menjadi beban.

Sebab tiada amal yang saleh,
Membuat maksiat tidak memilih,
Murkanya Tuhan tak dapat didalih,
Doa mustajab manakan boleh.

Ingatlah pesan Rasul sejati,
Carilah dunia seolah tak mati,
Tuntut akhirat besok nak mati,
Tamakkan dunia sayugia takuti.

Peminat-peminat Seni Ghazal pada umumnya adalah terdiri golongan dewasa dan orang tua-tua. Namun demikian, sedikit demi sedikit masyarakat kita di merata tempat di Malaysia ada yang tertarik dengan lagu-Iagu ini jikalau lagu-lagu itu dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi yang terkenal.

Rakaman-rakaman pita lagu-Iagu berirama ghazal ada juga diusahakan penerbitannya. Dengan demikian lagu-Iagu ini bertambah meluas tersebar kepada masyarakat umum. Usaha yang paling berkesan bagi memperkenalkan Seni Ghazal kepada rakyat ialah melalui tayangan tv dan siaran radio. Langkah RTM mengadakan pertandingan Seni Ghazal dalam rancangan Dendang Rakyat tiap-tiap tahun memberi dorongan yang berkesan kepada perkembangan dan kemajuan Seni Ghazal.

Lagu-Iagu berirama ghazal sesuai dinyanyikan pada waktu malam dan akan lebih terasa keistimewaannya jikalau didendangkan di waktu larut malam. Pada ketika itu kalau dihayati dengan sungguh-sungguh akan dapat dirasakan keindahan irama seninya yang lembut dan beralun-alun itu.

Kesan lagu-Iagu ini lebih dirasakan pada pantun-pantun yang dinyanyikan. Umpamanya dalam lagu Gunung Banang, alangkah terasa resapannya ke lubuk hati apabila mendengarkan dendangan pantunnya :

Gunung Banang tinggi mengawan,
Nampak dari kampung Soga,
Bila terpandang wajahmu tuan,
Serasa berada di pintu syorga.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-12-2008 09:25 AM | Show all posts
Antara lagu-Iagu Melayu asti yang kerap didendangkan oleh pancaragam ghazal ialah lagu-Iagu :

Seri Banang
Seri Mersing
Seri Sarawak Seri Sedili
Seri Sian tan Seri Tambak
Seri Sekudai
Seri Bentan
Seri Mahligai
Seri Medan
Bukit Tereh
Gunung Banang
Gunung Panti
Bacang Manis
Baharum Pengail
Nasib Panjang
Embun Menitik
Embun Berderai
Pak Malau
Patah Hati
Laksamana Mati Dibunuh Lela Manja
Pak Ngah Balik
Puteri Ledang
Lancang Kuning
Siti Payung
Cik Siti Mudik Ke Hulu Pancang Burung
Pulau Pisang
Mas Merah


Kumpulan-kumpulan Ghazal sering mengadakan persembahan mereka di majlis-majlis perkahwinan, di pesta-pesta keramaian, dalam temasya bersukaria dan sebagainya.

Di negeri Johor Seni Ghazal dan juga permainan Kuda Kepang diiktiraf sebagai ciri-ciri kesenian negeri. Kedua-dua jenis kesenian ini jarang ditinggalkan apabila diadakan pesta atau temasya keramaian di peringkat daerah dan negeri.

Alat-alat muzik ghazal kini telah bertambah. Ia terdiri daripada beberapa jenis iaitu :

Harmonium
Tabla
Gitar
Gambus
Biola
Tamborin
Marakas
satu atau dua jenis alat lain.

Bentuk atau susunan persembahannya:

(1) Persembahan lagu pengenalan kumpulan
(2) Persembahan lagu-Iagu Melayu asli dan lain-lain lagu
sebagai selingan at au memenuhi permintaan pendengar
(3) Lagu Penutup

Catatan :

Ghazal juga adalah sejenis puisi lama dalam sastera Melayu yang berasal daripada sastera Parsi. Ikatan ghazal terdiri tujuh hingga lap an baris serangkap dan sukatan bunyinya 20 atau 30 sukukata sebaris. Contohnya :

Kekasihku seperti nyawapun adalah terkasih dan mulia
juga,
Dan nyawaku pun mana daripada nyawa itu jauh ia juga, Jika seribu tahun lamanya pun hidup ada sia-sia juga, Nyawa itu yang menghidupkan senantiasa nyawa manusia
juga,
Dan menghilangkan cintanya pun itu kekasihku yang setia juga,
Kekasihku ituyang mengenak hatiku dengan rahsiajuga, Bukhariyang ada serta nyawa itu ialah bahagia juga.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 23-12-2008 01:18 AM | Show all posts

salam

Suka dengar ghazal

ok gak la... boleh dengar kat majlis rasmi...perkahwinan... n kat tv, nasi lemak kopi o
Reply

Use magic Report

Post time 24-12-2008 08:59 PM | Show all posts
suka ngan GHAZAL FAZIL AHMAd
best sangat
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-6-2024 05:48 AM GMT+8 , Processed in 0.060223 second(s), 36 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list