|
30 minit melawan sang bedal
Oleh Matzidi Dris [[email protected]][email protected][/email]
Nelayan terkejut buaya melompat dalam perahu
KUCHING: Berpantang maut sebelum ajal, gambaran tepat kepada pengalaman seorang nelayan sungai di Kampung Paroh, di sini, apabila terpaksa bergelut kira-kira 30 minit dalam air sedalam 8.2 meter untuk menyelamatkan diri daripada dibaham buaya ketika menjala udang seorang diri, di hulu Sungai Sarawak dekat muara Sungai Paroh, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Osmandi Dollah, 27, yang baru menebar jalanya di kawasan umpan dedak jagung yang dipasangnya sebelum itu, terkejut apabila seekor buaya tiba-tiba melompat masuk ke dalam perahu.
"Saya terkejut dan terus menjerit minta tolong apabila menyedari separuh daripada badan reptilia itu yang belakangnya selebar 1.8 meter berada dalam perahu dan kepalanya menghala ke arah saya.
"Saya melepaskan jala sambil memeluk kepala buaya itu untuk mengelak mulutnya membaham tangan atau tengkuk, menyebabkan saya jatuh ke dalam sungai," kata Osmandi di rumahnya di Kampung Paroh, semalam.
Ekoran serangan itu, dada dan siku kiri Osmandi yang biasa menjala udang dari jam 6 petang hingga jam 12 malam, luka terkena muncung buaya berkenaan.
Ayah kepada seorang anak lelaki itu berkata, sebelum kejadian beliau pernah beberapa kali melihat buaya berenang atau berjemur di tebing Sungai Paroh.
Katanya, ketika bergelut dengan buaya itu, sudah terbayang di kepalanya bahawa badannya akan putus dibaham.
Namun, semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk berlawan dengan sang bedal itu.
"Pergelutan dengan buaya itu menyebabkan saya hampir lemas. Cahaya lampu dari perahu membolehkan saya melihat dengan jelas binatang berkenaan," katanya.
Beliau yang kerap menjala udang di kawasan berkenaan sejak berusia 15 tahun berkata, buaya itu cuba melepaskan kepalanya daripada pelukan menyebabkan mulut binatang itu terkena bawah perahu.
Katanya, selepas kepala buaya itu terlepas daripada pelukannya, dia masuk semula ke dalam perahu dan terus pengsan.
"Seorang penduduk kampung yang turut menjala udang kira-kira 100 meter dari tempat itu cuba membantu menyebabkan buaya berkenaan lari.
"Rakan itu menunda perahu balik ke jeti Kampung Paroh dan menghantar saya ke klinik di Matang Jaya.
"Saya bersyukur kerana hanya cedera ringan," katanya.
[ Last edited by Ema_kiki80 at 30-7-2008 02:36 PM ] |
|