View: 12610|Reply: 4
|
seni tenun songket dan permata di raja
[Copy link]
|
|
Sentuhan Tengku Ismail
Cintanya pada warisan kraftangan dan permata menyebabkan Tengku Ismail Tengku Su terus mempertahankan seni ini.
LEWAT ruang tamu pangsapuri kediamannya yang berhias moden dan santai, lelaki berdarah raja tapi berjiwa seni ini menyambut kami dengan senyuman lebar. Bertanya khabar sambil mempersilakan kami duduk, beliau kembali terpaku di depan skrin komputer.
Pandangan terus ditawan oleh visual-visual menarik dan mengujakan yang tertera pada skrin. Pendek kata, setengah jam berikutnya kami dihidangkan dengan halwa mata yang menakjubkan.
Ikuti sesi temu bual Elemen Fesyen bersama Tengku Ismail Tengku Su, kerabat Diraja Terengganu tentang seni tenun songket dan seni rekaan perhiasan emas yang begitu dekat di jiwanya serta mengapa seni warisan Melayu ini harus dipertahankan.
SEBAHAGIAN daripada hasil kerja Tengku Ismail Tengku
Su dalam menghasilkan rekaan barang kemas.
Kami memulakan bicara hanya lebih kurang setengah jam kemudian.
"I believe, when you're passionate about what you do, it reflects on the objects you touched. Bukan segalanya yang kita buat harus menjurus kepada hal wang saja. Saya percaya apabila jiwa kita benar-benar dekat dan ikhlas dengan kerja itu, agak sukar bagi kita untuk melakukan kesilapan. Penting sekali kita berasa berada di landasan yang betul."
Kata-kata beliau itu benar-benar menyentuh perasaan dan membuat kita berfikir lebih jauh dan dalam. Prinsip tersebut seolah-olah jelas terpancar pada setiap produk seni yang beliau hasilkan daripada barang kemas dan perhiasan permata, buku salasilah yang beliau kumpulkan sendiri mengenai kerabat diraja Terengganu hinggalah ke karya tenunan songketnya.
Sambil menunjukkan buku Sulalatus Salatin yang beliau hasilkan yang mencatatkan salasilah kaum kerabat diraja Terengganu itu, mulutnya tidak henti-henti menyentuh tentang sikap masyarakat kita yang semakin melupai untuk menyimpan dan mendokumentasikan bahan sejarah.
"Kalau saya tak buat saya bimbang tiada orang yang akan melakukannya dan melihat sikap generasi muda hari ini saya takut semua bahan sejarah termasuk salasilah asal usul kita akan hilang begitu sahaja," tegas beliau.
Tindakan tersebut juga katanya, adalah atas dasar tanggungjawab terhadap kerabatnya. Beliau tidak mahu satu hari nanti semua fakta sejarah itu hilang begitu saja.
PUSAT peranginan Tanjung Pura Saptu di Kuala Terengganu
ini memartabat seni tenun songket.
Sebagai contoh katanya, hari ini ada bahan sejarah terutamanya bahan bertulis seperti salasilah kerabat diraja dan kesultanan telah disalahfaktakan oleh segelintir masyarakat terpelajar tetapi tidak memahami dan tahu sejarah yang sebenar.
Beliau mempunyai minat yang mendalam terhdap bidang rekaan dalaman. Malah, terkenal dengan pusat peranginan eksklusif Tanjung Pura Saptu yang terletak di Kuala Terengganu miliknya, Tengku Ismail boleh digelar kerabat diraja berjiwa seni.
Berkelulusan dalam bidang pengurusan hotel dan pernah mengikuti pengajian dalam jurusan rekaan dalaman di London, tidak hairanlah mengapa Tengku Ismail pernah bertugas sebagai pengurus di pusat peranginan Tanjung Jara pada tahun 80-an. Khidmatnya juga sering diperlukan untuk menghias dalaman istana.
| TENGKU ISMAIL TENGKU SU
|
"Antara hasil kerja yang amat saya suka dan berasa puas ialah menghias balai pertabalan untuk istana kala pertabalan Sultan Mizan. Satu lagi ialah menghasilkan songket untuk majlis perkahwinan Raja Zarith Sofiah. Beliau juga merupakan antara kerabat diraja yang mempunyai beberapa hasil kerja seni saya termasuk pakaian dan selendang," katanya.
Namun, kami lebih bertumpu kepada hasil seni pembuatan, rekaan barang kemas dan tenunan songket eksklusif yang beliau hasilkan.
Kata orang jika mahu mengukur bagus atau tidaknya sesuatu produk, ukurlah kepada siapa yang memakainya.
Senarai pelanggannya yang terdiri daripada golongan istana, ternama dan korporat, sudah cukup untuk memberi gambaran mutu hasil karyanya yang eksklusif.
Sebagai contoh, setiap barang kemas yang beliau hasilkan mempunyai nilai estetika yang tersendiri. Ini kerana setiap butir permata yang digunakan bukan sahaja dipilih beliau dengan begitu hati-hati, malah ada di antaranya adalah simpanan berharga yang beliau himpun selama bertahun-tahun.
"I think I'm, spoilt," katanya ketawa. "Sejak kecil saya memang tertarik bila melihat batu permata dan saya memang suka membelek dan bermain dengannya. Bila dewasa dan saya ke mana-mana, batu permata adalah salah satu objek yang menarik minat," cerita Tengku Ismail tentang hobi tersebut sambil menunjukkan kami pada sebentuk cincin delima bertatah berlian yang baru siap beliau cipta.
Permata katanya, hanya tinggal nilainya sahaja jika ia tidak diikat dan dipamerkan. Sebutir permata yang diikat akan memantulkan keindahan yang tersendiri dan tiada ternilai berbanding dengan sebutir permata yang mahal tetapi hanya disimpan di dalam peti.
Walaupun kadangkala beliau berasa agak sedih 'berpisah' dengan batu permata kesayangannya apabila permata tersebut ingin dibeli pelanggan tetapi bangga dan puas melihat ia dipamerkan kepada diri seseorang membuat beliau lega.
Kerana begitu dekatnya setiap hasil karya beliau dengan jiwanya, kadangkala dalam proses pembuatan, beliau sering menggambarkan orang yang bakal memakainya. Tambahan pula, proses pembuatan barang kemas yang begitu rumit dan cerewet membuat setiap rekaan begitu istimewa dan mendorong beliau supaya berhati-hati kepada siapa karya tersebut bakal dijual.
"Melihat produk yang sudah siap memang mudah tetapi untuk menghasilkannya perlu melalui beberapa proses penting. Contohnya, proses memilih dan mengatur butiran permata di atas acuan tanah liat dan mengikat," jelas Tengku Ismail yang masih menggunakan kaedah tradisi dan manual.
Bagaimana Tengku Ismail meletakkan masa depan bidang yang beliau ceburi ini?
"Bagi saya, hasil kerja saya amat istimewa dan eksklusif jadi sekiranya saya belum lagi menemui pelanggan yang sesuai, ia akan terus berada dalam simpanan saya," pintasnya sambil menunjukkan kami kepada sebentuk gelang emas bertatah berlian yang diukir dan direka bermotif ukiran klasik.
Sambil menoleh dan menunjukkan kepada kami beberapa gambar himpunan keluarga yang berpakaian lengkap tradisional yang dilukis menggunakan cat minyak, beliau berkata, itulah salah satu lagi cara beliau berusaha menyimpan bahan sejarah tentang pakaian dan perhiasan orang dulu-dulu.
"Kadangkala orang keliru tentang kekayaan kebendaan dan kekayaan jiwa. If you can have both its great. Tapi kalau kita tak kaya duit dan harta, kaya dengan jiwa yang penuh kebanggaan terhadap seni dan warisan bangsa, itupun sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu, insan yang lengkap.
Hari ini beliau boleh menarik nafas lega dan bersyukur kerana masih boleh berdiri sendiri di tengah kepesatan perkembangan industri barang kemas dan fesyen tanah air.
Ini berlaku kerana ada sesetengah yang masih menghargai hasil karya seni dan mahu menyimpannya.
Sedang jenama-jenama lain terus bersaing menghasilkan rekaan untuk kelas bawahan dan menengah, bagi Tengku Ismail pasaran amat kecil tetapi arah tujunya amat jelas dan begitu fokus
"Saya seronok lakukan apa yang sedang saya buat sekarang ini walaupun saya tidak dikenali tetapi cukup sekadar tahu ada yang benar-benar menghargai dan bangga kerana memiliki hasil karya saya." |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
woww..!! lawa seh...!! |
|
|
|
|
|
|
|
aah...
lawa!!! |
|
|
|
|
|
|
|
Pertahankan tenunan pua
Oleh Melati Mohd Ariff
SERING membuat demonstrasi tenunan pua di temasya-temasya
kraftangan anjuran Kraftangan Malaysia termasuk yang diadakan
di Kuala Lumpur dan Langkawi.
Kraftangan dengan ciri keanggunan dan nilai artistiknya adalah warisan yang perlu dipertahankan supaya dapat diturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain.
Usaha untuk memastikan apa jua hasil kraftangan yang ada di bumi bertuah ini supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas sudah tentu diperlukan terutama menerusi program latihan yang sistematik dan berterusan.
Institut Kraf Negara (IKN) di bawah Kraftangan Malaysia adalah antara agensi yang dilihat gigih mengambil daya usaha untuk memberikan latihan kepada anak-anak tempatan dalam mengekalkan terus seni kraftangan negara.
Jijah anak Ngumbang, berusia 30-an dari Betong, Sarawak adalah antara anak muda yang tidak ketinggalan merebut peluang keemasan untuk mengikuti program latihan IKN ini.
Anak gadis keturunan Iban ini mengikuti kursus tenunan pua pada tahun 1994 ketika berusia 19 tahun.
Nasib seseorang tidak akan berubah seandainya tidak didahului dengan kemahuan dan usaha gigih.
Berasal dari keluarga petani, Jijah yang hanya bersekolah setakat tingkatan satu, mengambil langkah bijak dengan menjadikan kraftangan sebagai bidang untuk meraih kemahiran.
| JIJAH mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada teknik yang digunakan iaitu teknik ikat (tiga minggu) dan teknik canting (dua minggu).
|
"Di Rumah Panjang, saya ada seorang yang bekerja sebagai guru kraftangan di Kraftangan Malaysia. Dialah yang beritahu saya ada kekosongan untuk pelatih dan memberikan saya borang untuk diisi.
"Semasa itu saya tak ada kerja, jadi program latihan ini peluang baik untuk saya mendapatkan kemahiran supaya saya boleh mencari sumber pendapatan sendiri dan tidak menyusahkan orang tua saya," cerita Jijah yang ditemui di Kompleks Kraf, Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, dia adalah satu-satunya penghuni Rumah Panjang berkenaan yang mempelajari seni tenunan pua.
Jijah didatangkan khas ke Kuala Lumpur untuk membuat demonstrasi tenunan pua sempena Temasya Batik dan Tenun Malaysia, anjuran Kraftangan Malaysia yang berlangsung di Kompleks Kraf baru-baru ini.
Anak sulung daripada tujuh beradik ini mengakui sebelum mengikuti program latihan IKN, dia tidak tahu-menahu langsung tentang tenunan pua meskipun ia adalah satu tradisi kaum Iban.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak sedikit pun mematahkan semangat Jijah untuk mempelajari selok-belok tenunan pua sepanjang tempoh setahun kursus yang diikutinya.
"Apa yang penting, kita mesti ada minat yang mendalam dan banyak bersabar kerana tenunan ini ada banyak peringkat. Kalau cepat bosan, tak bolehlah buat," kata Jijah yang memberitahu bahawa kebanyakan peserta program latihan yang diambil Kraftangan terdiri daripada anak-anak muda belasan tahun.
Dia menyifatkan program latihan Kraftangan Malaysia sebagai satu usaha yang bagus terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.
Tambahan, sekarang, katanya, terdapat kursus peringkat diploma selama tiga tahun yang diadakan di Kuala Lumpur.
Mempelajari seni kraftangan khususnya tenunan pua ternyata membuka banyak peluang untuk Jijah.
Di samping dapat memberikannya pendapatan tetap, dia juga sering membuat demonstrasi tenunan pua di temasya-temasya kraftangan anjuran Kraftangan Malaysia termasuk yang diadakan di Kuala Lumpur dan Langkawi.
Jijah menyimpan harapan tinggi agar suatu hari nanti dia akan dapat membuka kedai kraftangannya sendiri.
Buat masa ini, Jijah masih bernaung di bawah program inkubator usahawan Kraftangan Malaysia. Di bawah program itu, katanya, pihak Kraftangan Malaysia akan menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk tenunan puanya.
Dari pukul 8 pagi hingga 5 petang pada hari Isnin sampai Jumaat, Jijah akan berada di pusat inkubator itu. Sekiranya dia mempunyai tempahan yang banyak, kerjanya mungkin berlarutan sehingga pukul 10 malam.
Jijah mahu menjadikan tenunan pua bukan sahaja sebagai pembuka rezeki tetapi juga diturunkan kepada generasi muda Iban yang lain.
Meskipun hanya memperoleh pendapatan purata RM400 sebulan, Jijah bertekad akan terus mengusahakan tenunan pua meskipun setelah berkeluarga nanti.
"Saya hanya perlu menyesuaikan masa. Bagi saya, seronok dapat menghidupkan tradisi turun-temurun ini," katanya.
Untuk menyiapkan sehelai tenunan pua berukuran 1.5 meter kali 0.6 meter, Jijah mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada teknik yang digunakan iaitu teknik ikat (tiga minggu) dan teknik canting (dua minggu).
Menurut informasi Kraftangan Malaysia, tenunan pua adalah tenunan ikat warisan turun-temurun suku kaum Iban.
Ia memaparkan identiti dan pegangan kuat kaum itu kepada adat dan tradisi kehidupan mereka.
Dahulu, dipercayai reka corak tenun pua dihasilkan dari mimpi dan secara langsung menonjolkan unsur-unsur estetik dan mistik yang tersendiri.
Antara motif yang sering digunakan dalam tenunan pua ialah tumbuh-tumbuhan, binatang seperti mengkarung dan buaya serta manusia. - Bernama |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|