Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan insiden individu menghempas kucing hingga mati di hadapan premis perniagaan dekat Lingkaran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Melaka.
Presiden Animal Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, insiden itu dilaporkan berlaku pada 6.40 pagi ini dan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.
Rakaman CCTV menunjukkan seorang individu menghempas kucing ke lantai hingga mati. FOTO Tangkap layar Facebook Animal Malaysia
"Rakaman CCTV itu menunjukkan seekor kucing tidur di hadapan sebuah premis.
"Kemudian, datang individu disyaki sedang berjoging mengangkat kucing itu lalu menghempas ke lantai beberapa kali.
"engadu yang membekalkan rakaman CCTV mendakwa tidak mengenali pelaku terbabit," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook (FB) Animal Malaysia.
Arie menyeru orang ramai di sekitar kawasan Ayer Keroh Heights mengenal pasti pelaku kejam atau mana-mana saksi kejadian menghubungi hotline jenayah haiwan Animal Malaysia 010-5394749.
"Bersama banteras jenayah haiwan. Berikan keadilan kepada haiwan dizalimi. Kongsikan kes jenayah haiwan ke www.animalmalaysia.com/report-animal-crime," katanya.
Sumber: Harian Metro |