KUCHING: Kanak-kanak berusia lima tahun di Miri antara 14 kes kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 yang direkodkan di Sarawak dari tarikh 30 September hingga 8 Oktober 2021.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi laporan hari ini berkata, kanak-kanak lelaki berkenaan disahkan meninggal di Hospital Miri pada 6 Oktober dan kes adalah obesiti dan merupakan termuda setakat ini.
"Kes kematian lain melibatkan mereka berusia antara 41 hingga 89 tahun dengan kesemuanya mempunyai komorbid.
"Kematian melibatkan sembilan lelaki dan lima wanita," katanya.
Sementara itu mengenai kes baharu direkodkan di negeri ini sebanyak 1,126 kes jangkitan baharu COVID-19 dengan 1,116 atau 99.11 peratus daripadannya kategori satu dan dua.
Menurut JPBNS, sementara 10 kes atau 0.89 peratus daripada kes baharu adalah kategori tiga, empat dan lima.
Dari segi peratusan kes katanya, 18.38 peratus atau 207 kes adalah kategori satu iaitu tiada gejala manakala 80.73 peratus atau 909 kes adalah kategori dua (gejala ringan).
Manakala 0.27 peratus atau tiga kes adalah kategori tiga (jangkitan paru-paru), 0.36 peratus atau empat kes adalah kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan 0.27 peratus atau tiga kes merupakan kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).
"Daripada jumlah kes baharu itu, Kuching merekodkan kes harian tertinggi iaitu 315 kes, diikuti Miri (195), Sibu (117), Bintulu (56), Bau (54), Mukah (38), Sarikei (37), Limbang (36), Serian (35), Samarahan (30), Bukit Mabong (28), Betong (26), Sri Aman (25), Saratok (19), Kapit dan Asajaya (15) dan Beluru (11).
"Turut merekodkan kes, Marudi dan Subis (8), Tanjung Manis dan Lubok Antu (7), Lundu dan Pusa (6), Selangau (5), Pakan dan Dalat (4), Meradong dan Matu (3), Kanowit, Belaga, Tebedu, Julau dan Telang Usan (2) dan Kabong, Tatau serta Sebauh (1)," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/09
|