Ketibaan Tun Taib (tengah) dan Toh Puan Ragad Kurdi Taib (belakang kiri) diiringi Abang Johari (kiri) pada Majlis Jamuan Negeri di BCCK semalam. - Gambar ihsan Jabatan Penerangan
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinannya akan terus menolak sebarang unsur yang boleh memecah belah perpaduan rakyat negeri ini.
Ujarnya, Sarawak bernasib baik kerana kuasa autonomi imigresen negeri ini melindungi rakyatnya daripada unsur-unsur yang melampau dan pelampau-pelampau agama dari luar.
“Inilah kuasa autonomi yang harus terus dipertahankan untuk memelihara kesejahteraan Bumi Kenyalang.
“Agama anda adalah agama anda, agama saya adalah agama saya. Apa sahaja yang anda percayai atau buat ia antara anda dan Tuhan.
“Justeru, selain daripada usaha melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), saya amat menyokong usaha badan-badan kerajaan seperti Yayasan Perpaduan Sarawak yang berusaha untuk mempertingkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat kita di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri sempena sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Tambah Abang Johari, tiada apa yang lebih berharga daripada perpaduan rakyat kita yang berbilang bangsa dan agama dalam usaha kita bersama untuk mengejar impian menjadi sebuah masyarakat dan negeri yang maju.
Walau berapa banyak pun kekayaaan bumi kita katanya, jika negeri kita tidak selamat dan stabil semua kekayaan itu tidak akan dapat diusahakan untuk memberi kekayaan kepada negeri.
Contoh dapat dilihat dengan apa yang berlaku di Afghanistan katanya dimana suasana kacau bilau di negara itu telah memberi ruang kepada kemasukan kuasa asing atau kuasa luar dan ekonominya terbiar.
“Saya amat berharap dan berdoa agar negeri kita terus selamat daripada ancaman luar seperti ini dan juga ancaman dalaman kepada perpaduan rakyat kita.
“Perpaduan rakyat tidak datang bergolek tetapi sesuatu yang harus diusahakan secara berterusan,” katanya.
Sempena dengan hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Abang Johari mewakili seluruh rakyat negeri ini turut mendoakan Tun Taib diberi kesihatan dan terus menjadi naungan kepada pembangunan negeri ini.
Beliau dan rakan-rakan kabinet dalam kabinet katanya akan terus berusaha memastikan ekonomi negeri ini terus mampu berkembang serta mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Abang Johari turut yakin naungan payung ketokohan Tun Taib akan terus mewujudkan suasana yang kondusif untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang aman dan makmur.
utusanborneo.com.my/2021/10/10
|