CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2032|Reply: 0

Santuni anak yatim kerana Covid-19

[Copy link]
Post time 1-10-2021 11:11 PM | Show all posts |Read mode
Santuni anak yatim kerana Covid-19


KES kematian yang meragut nyawa rakyat Malaysia akibat Covid-19 bukan melibatkan angka yang kecil.

Wabak Covid-19 yang melanda negara ini sejak awal tahun lalu sudah menyebabkan berlakunya kematian. Dengan menyedari bahawa semua yang berlaku merupakan takdir Ilahi, kita perlu berusaha untuk mengurus takdir ini sebaiknya. Sekarang bukan masa untuk menuding jari menyalahkan pihak itu dan ini atas apa yang berlaku. Setiap orang berperanan untuk membantu pihak yang terlibat secara langsung dengan ujian wabak yang melibatkan kehilangan nyawa.

Kes kematian yang meragut nyawa rakyat Malaysia akibat Covid-19 bukan melibatkan angka yang kecil. Daripada angka tersebut, pastinya ada dalam kalangan insan yang mati telah meninggalkan keluarga mereka termasuk anak-anak yang masih kecil dan belum mencapai usia baligh. Kanak-kanak ini hilang tempat bergantung hidup kerana orang tua mereka menjadi mangsa Covid-19.

Justeru, umat Islam yang berada di sekeliling kelompok anak yatim ini perlu berusaha menyantuni mereka mengikut kemampuan masing-masing. Pada saat anak-anak lain mendepani cabaran Covid-19 bersama ibu bapa tercinta, anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa terpaksa meneruskan kehidupan seadanya. Mungkin ada yang terpaksa menumpang kasih bersama keluarga terdekat dan pastinya semua orang sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan.

Di sinilah pentingnya untuk kita merenung ketetapan Islam yang meletakkan golongan anak yatim di tempat yang sangat istimewa. Islam memandang tinggi kesusahan yang dihadapi oleh golongan anak yatim ketika mereka sedang melalui proses pembesaran yang sepatutnya dibimbing oleh ibu bapa sendiri.

Rasulullah SAW sendiri menjalani kehidupan sebagai seorang anak yatim. Baginda dibesarkan dalam penjagaan ahli keluarga terdekatnya iaitu bapa saudara sendiri. Maka ujian sebagai seorang anak yatim dilalui sendiri oleh Rasulullah SAW yang akhirnya sedikit sebanyak membentuk keperibadian mulia dalam diri baginda termasuk menyayangi dan menghormati orang lain khususnya bapa saudara baginda iaitu Abu Talib.

Hubungan insani yang baik boleh menerbitkan kasih sayang sesama insan. Sebaliknya jika anak yatim tidak diberi kasih sayang sewajarnya, maka boleh jadi ia menjadi sebab mereka membesar dengan sifat-sifat negatif seperti iri hati, dengki, rasa teraniaya, berjiwa kasar, mudah memberontak dan sebagainya. Hal ini berlaku mungkin disebabkan mereka menyaksikan orang lain yang seusia dengannya mendapat kasih sayang dan perhatian daripada insan bernama ibu dan ayah. Sedangkan mereka tidak memiliki perkara yang sama apatah lagi merasai diri disayangi.

Islam memberi keistimewaan terhadap golongan yang mengambil tanggungjawab menjaga anak yatim. Ahli keluarga besar mempunyai tanggungjawab untuk lebih ke hadapan dalam menjaga kebajikan anak yatim dalam keluarga sendiri. Rasulullah SAW bersabda tentang kedudukan istimewa orang yang menjaga anak yatim menerusi sabda baginda bermaksud:  "Aku (Rasulullah) dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini," kemudian baginda menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah baginda serta merenggangkan keduanya (menunjukkan keadaan yang sangat rapat atau akrab."  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Usaha menyantuni anak yatim tidak terhad dengan menghulurkan bantuan kewangan sahaja. Lebih daripada itu, golongan anak yatim memerlukan perhatian, kasih sayang serta rasa kebersamaan lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang masih dibelenggu penularan wabak Covid-19.

Setiap orang Islam perlu berusaha melakukan apa sahaja perkara baik untuk golongan anak yatim agar mereka tidak merasa diri tersisih. Sesungguhnya setiap kebaikan yang dilakukan boleh termasuk dalam cakupan sedekah sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:  "Setiap kebaikan (perbuatan ma'ruf) adalah sedekah."  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Pada masa sama, dalam keadaan kes melibatkan kematian yang tinggi, mungkin kita tidak tahu ada dalam kalangan anak-anak yang ditemui berstatus anak yatim. Justeru, kita perlu berhati-hati dalam setiap tindakan melibatkan golongan kanak-kanak kerana dikhuatiri mereka dalam kalangan anak yatim.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang melarang perbuatan mengherdik anak yatim:  "Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya."  (Surah ad-Dhuha, ayat 9)

Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa ayat 9 daripada Surah ad-Dhuha merupakan satu bentuk amaran daripada Allah SWT agar umat Islam  tidak menghina, mengasari atau merendahkan golonngan anak yatim. Golongan ini perlu diberi layanan yang baik dan berlembut dengan mereka. Ini sepertimana disebut oleh Qatadah tentang layanan kepada anak yatim yang perlu diberikan ibarat seorang ayah yang penyayang kepada anaknya sendiri.

Ketetapan agar tidak mengasari anak yatim dinyatakan secara terang dalam al-Quran. Justeru, ia perlu difahami sebagai satu ketetapan yang bertujuan memelihara golongan anak yatim. Sebenarnya kewujudan golongan anak yatim turut menjadi ujian kepada manusia. Anak yatim boleh menjadi sumber dosa dan pahala kepada orang lain. Sifirnya begini, orang yang mengasari anak yatim akan mendapat dosa. Sebaliknya orang yang menyantuni anak yatim akan beroleh ganjaran pahala yang istimewa.

Mana-mana pihak yang menzalimi anak yatim dikira sebagai orang yang mendustakan agama. Balasan buruk bagi orang yang mendustakan agama dengan menzalimi golongan anak yatim sangat berat di akhirat nanti. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  "Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim."  (Surah al-Ma'un, ayat 1-2)

Penindasan kepada anak yatim kadang kala boleh terjadi melibatkan pihak yang dipertanggungjawabkan menjaga mereka. Sebelum ini pun, ada berita yang menyebut terdapat usaha mempergunakan golongan anak yatim untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya seperti meminta sedekah di jalanan bagi memuaskan nafsu duniawi pihak yang tidak bertanggungjawab.

Keadaan seperti itu tidak akan berlaku sekiranya masyarakat sentiasa peka dan mengambil cakna tentang keadaan anak yatim yang berada di sekeliling mereka. Beruntunglah orang yang mengambil tanggungjawab menjaga golongan anak yatim dan melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaiknya. Perbuatan menyantuni golongan anak yatim pastinya mendatangkan kebaikan dan ganjaran pahala yang istimewa daripada Allah.

Peringatan juga perlu diberikan tentang perbuatan menganiaya anak yatim dalam apa cara sekalipun terutama melibatkan harta dan hak mereka akan menjadi tiket untuk melayakkan orang yang terlibat ke neraka.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:  "Sesungguhnya orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala."  (Surah an-Nisa', ayat 10)



Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-12-2024 05:52 AM GMT+8 , Processed in 0.085664 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list