CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1086|Reply: 0

[Borneo] Keluarga Malaysia: Fahami sejarah Sarawak, Sabah

[Copy link]
Post time 23-9-2021 08:59 PM | Show all posts |Read mode


Sejarah negara perlu difahami  dengan betul oleh semua rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda. Buta sejarah negara sendiri membawa banyak risiko dan kesan negatif.

Justeru, paling penting, buku teks sejarah yang ditulis untuk rujukan pelajar perlulah ditulis dengan profesional oleh mereka yang benar-benar pakar dengan memaparkan fakta sebenar peristiwa masa silam. Kini ada gesaan supaya sejarah tentang Perjanjian Malaysia 1963 turut disentuh dalam buku teks sekolah.

Hakikatnya, sejarah Sabah dan Sarawak telah tidak diberi layanan yang saksama dalam buku teks di negara kita untuk sekian lama.  Sejarah kedua-dua negeri itu dan pembentukan Malaysia  dianggap seolah-olah tidak begitu penting. Bagai melukut di tepi gantang. Tajuk tentang pembentukan Malaysia lebih banyak diberi fokus kepada peranan Persekutuan Tanah Melayu, berbanding Sabah dan Sarawak.

Sebenarnya, tajuk berkaitan pembentukan Malaysia, termasuk MA-63 perlu diberi liputan yang signifikan agar rakyat di tiga wilayah benar-benar memahami bagaimana negara persekutuan ini dibentuk 58 tahun lalu.

Kalau tidak, mereka akan mempunyai  pemahaman yang sendeng  dan tidak begitu tepat terhadap sejarah negara.  Bukan tidak ada yang memahami sejarah negara hanya bersandarkan buku teks yang dipelajari di sekolah ,dan bukannya buku sejarah lain yang lebih mendalam sifatnya.

Hakikatnya, sejarah dalam buku teks sekolah adalah terlalu berorientasikan Semenanjung dan Melayu sedangkan sejarah Sarawak dan Sabah serta peranan bukan Melayu, termasuk bumiputera di kedua-dua negeri itu tidak harus dipandang enteng. Peranan tokoh dari Sarawak seperti Tun Jugah,  Tun Abang Haji Openg, Tun Abdul Rahman Yaakub, Tan Sri Ong Kee Hui tidak harus dilupakan.

Buku teks Sejarah telah banyak dikritik pelbagai pihak sebelum ini walaupun ia sudah melalui proses penerbitan buku yang piawai, mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan. Buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang dikatakan yang mencairkan sejarah negara.

Buku teks berkenaan dikatakan tidak menonjolkan sejarah Malaysia dengan betul dan tepat, tetapi skopnya juga terlalu luas. Editor dan penerbit juga perlu memastikan bahawa imej, gambar atau ilustrasi yang digunakan hendaklah betul, dan jangan sampai mencetuskan kontroversi.

Ini termasuk dari segi pemetaan kandungan, penulisan manuskrip, penyediaan dan penyemakan pruf muka surat, naskhah sedia kamera, pemerakuan naskhah sedia kamera, naskhah contoh, apresiasi kulit buku, dan kelulusan naskhah contoh sebelum buku itu diedar.

Proses berkenaan juga dikatakan membabitkan pakar rujuk kurikulum Sejarah dan buku teks Sejarah kementerian Pendidikan Malaysia. Malah, bagi mewasitkan fakta tertentu, KPM mendapatkan pengesahan fakta sejarah dan kandungan daripada agensi kerajaan yang terlibat seperti Arkib Negara, Muzium Negara, Persatuan Sejarah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sudah sampailah waktunya tindakan tegas diambil oleh kementerian Pendidikan Malaysia untuk merombak buku teks Sejarah secara besar-besaran bukan sahaja dari segi kandungan, tetapi juga dari segi penulisan, olahan, persembahan dan reka bentuk. Ini  bukan sahaja untuk menarik minat pelajar, tetapi juga bagi memastikan mereka didedahkan kepada sejarah Malaysia yang  tulen dan menyeluruh, dan bukannya yang sendeng dan berat sebelah.

Sejarah kaum-kaum lain dan negeri Sarawak dan Sabah perlu turut ditonjolkan, dengan memberi perhatian juga kepada naratif dari bawah, sejarah orang biasa, dan bukannya sejarah elit politik semata-mata.

Dengan mempelajari sejarah yang lebih menyeluruh dan tidak hanya memberi tumpuan kepada kaum-kaum atau wilayah tertentu kita akan dapat melahirkan semangat kecintaan dan kebersamaan esprit de corps yang mendalam di jiwa generasi muda dan rakyat Malaysia.

Kita tidak harus berbohong dan membohongi generasi masa depan Malaysia yang akan mewarisi negara ini. Kita perlu memberitahu sejarah dan fakta yang betul tentang peristiwa silam, dan peranan serta sumbangan kaum-kaum lain di negara ini.

Anak muda Malaysia akan berasa bangga dengan sejarah masing-masing, dan yang utama, mereka lebih memahami peranan dan sumbangan kaum lain dalam sejarah negara. Untuk itu, sejarah yang berpaksikan prinsip keterangkuman amat penting untuk membina identiti nasional yang dapat dibanggakan semua.

Juga, meneguhkan kesepaduan sosial, membina perpaduan utuh dan integrasi nasional mantap. Justeru, kesendengan terhadap agama, kaum atau negeri dan wilayah tertentu perlu dikaji semula. Peranan peribumi di Sabah dan Sarawak, serta sejarah wilayah berkenaan tidak harus dipinggirkan.

Harus ada keserasian dalam konteks kandungan buku teks Sejarah negara dengan objektif pendidikan nasional dan matlamat jangka panjang negara untuk membina integrasi nasional ke arah negara bangsa yang utuh.

Usaha ke arah pembinaan dan pengukuhan negara bangsa penting dipupuk melalui buku teks Sejarah dan dari bangku sekolah lagi. Biar generasi masa depan Malaysia mempunyai rasa bangga, semangat  nasionalisme dan patriotisme yang kental.

Peranan buku teks yang berkualiti tinggi dari segi kandungan tentu akan banyak membantu. Maksudnya, buku teks Sejarah kita hendaklah benar-benar mencerminkan sejarah Malaysia, wajah Malaysia dan identiti Malaysia.  Buku teks kita perlu memperlihatkan keseimbangan dan kedalaman  dari segi liputan atau kandungan.

Paling penting ia tidak harus mengandungi kesalahan dari segi fakta sejarah. Buku teks Sejarah sebelum ini dilaporkan bukan tidak mempunyai kesalahan fakta yang serius. Untuk itu, sumber rujukan  penulis buku teks berkenaan hendaklah dipastikan berwibawa, terkini dan lebih menyeluruh.

Hakikatnya, buku teks sejarah perlu ditulis berdasarkan kajian saintifik dengan menggunakan sumber autentik dan  dokumen yang berwibawa untuk memastikan faktanya tepat dan mampu mengisahkan peristiwa dan kejadian sebenar.

Anda tahu apa kesannya dengan kandungan buku teks yang sedemikian terhadap pemikiran generasi muda dan masa depan negara? Mereka akan mempunyai pemahaman dan persepsi yang tidak begitu tepat tentang kaum dan sejarah Sabah dan Sarawak.

Malah, kemungkinan besar mereka akan bersikap skeptis dan sinis terhadap sejarah yang dipaparkan. Kita mahu melahirkan pelajar yang kritis dan analitis, dan bukannya pelajar yang hanya hebat menghafal fakta dan tarikh sejarah.

Kita belum lagi terlambat. Kita harus bangga dan menghargai sejarah masyarakat pelbagai kaum di negara ini, termasuk di Sarawak dan Sabah. Warisan bangsa yang kaya itu perlu dihargai, difahami dan dirakamkan dengan betul dalam buku teks Sejarah sekolah, dan bukannya dalam bentuk indoktrinasi.

Konsep sejarah yang objektif dan menyeluruh tentu selari dengan gagasan Keluarga Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.  Komitmen untuk merombak buku teks perlu dilakukan segera ketika kita menuju dekad baharu sambutan ulang tahun Malaysia dan transformasi landskap politik yang dihadapi negara.

Pendidikan dan pengajaran sejarah yang inklusif penting bagi membina negara bangsa yang berpegang pada prinsip inklusif, dan bukannya sejarah dan peranan kaum tertentu sebagai lebih dominan.

Kita perlu melangkah ke hadapan. Kita perlu berani bertindak dengan merombak secara besar-besaran  kurikulum dan buku teks Sejarah sekolah kita. Buku teks berkenaan hendaklah ditulis dengan profesional, tepat, objektif dan inklusif.

Buku teks Sejarah yang digunakan di sekolah seharusnya dapat membantu pelajar dan generasi muda lebih memahami sejarah tempatan, negeri dan negara. Selain itu, ia harus berupaya untuk meningkatkan semangat nasionalisme dan patriotisme, serta mengukuhkan hubungan kaum di negara ini.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara


sarawakvoice.com/2021/09/

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-5-2024 02:11 AM GMT+8 , Processed in 0.183068 second(s), 29 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list