|
Melihat semakin ramai penyanyi yang kini terjun ke dalam bidang lakonan tidak sesekali menggugat posisi Hafidz Roshdi.
Malah, Hafidz dia tidak pernah gusar dengan kehadiran penyanyi yang banyak membintangi drama tempatan kerana percaya setiap manusia mempunyai bahagian rezeki masing-masing.
Foto: FB
"Dari awal berlakon, memang begini pola perjalanan di mana ada sahaja penyanyi bergelar pelakon. Saya tidak pernah tergugat dengan kehadiran mereka.
"Insya-Allah, saya yakin rezeki sentiasa ada. Malah, saya mengamalkan konsep berkongsi dengan sesiapa sahaja.
"Alhamdulillah, sehingga hari ini, saya tidak pernah putus rezeki. Jika tidak watak hero, saya diberikan watak pembantu," katanya kepada BH Online.
Foto: IG
Oleh sebab itu, Hafidz percaya, setiap pelakon atau penyanyi mempunyai ruang dan peluang tersendiri.
"Jika penyanyi diberikan kepercayaan sebagai pelakon, itu rezeki mereka. Siapa saya untuk menidakkan rezeki mereka.
"Malah, kalau pelakon sama menjadi hero, mungkin tidak menerima tawaran watak pembantu dan sebagainya. Bagi saya, menjayakan watak hero memberikan satu tekanan besar sebab saya sudah melaluinya.
"Apabila saya diberi peluang menjadi hero kedua, saya lebih banyak dapat menerokai watak baharu. Jadi, soal tergugat tidak pernah timbul dalam diri saya," katanya.
Hafidz ditemui pada sidang media drama terbaharu berjudul Perisik Cinta Tak Diundang yang kini sedang ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3, hari ini.
Selain Hafidz, drama adaptasi novel Perisik Cinta Tak Diundang karya Puteri Aqish arahan Azmi Mohd Hatta itu turut menampilkan Andi Bernadee, Shiha Zikir, Bella Astillah, Wani Kayrie, Salina Saibi, Esma Daniel, Fazlina Ahmad Daud, Amanda Misbun, Dynas Mokhtar, Shamsul Ghau Ghau, Enot dan ramai lagi.
Menerusi sidang media itu, Hafidz turut mengulas keinginannya bergelar penyanyi, memandangkan perlu menjayakan babak menyanyi dalam drama berkenaan.
Bagaimanapun, Hafidz mengakui, dia tidak mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.
"Saya suka menyanyi, tetapi suara tidak sedap. Itu hakikat yang harus diakui, malah saya tiada keyakinan menyanyi.
"Sebabnya, saya memang tidak boleh menyanyi, apatah lagi, tiada bakat dalam nyanyian.
"Diberikan tugasan menyanyi menerusi drama ini sudah cukup membuatkan saya gementar, inikan pula mahu menjadi penyanyi. Bayangkan, saya kena menyanyi depan khalayak, tidak tahulah apa yang akan berlaku," katanya.-CARI
Sumber: Berita Harian
|
|