CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2133|Reply: 1

[Borneo] MA63: Kerajaan berjanji beri perhatian isu kepentingan Sabah, Sarawak

[Copy link]
Post time 17-9-2021 09:08 AM | Show all posts |Read mode
KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjanji memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperhalusi perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan menerusi Majlis Khas MA63 yang dipengerusikannya, dan dianggotai Ketua Menteri Sabah, Ketua Menteri Sarawak, serta lapan Menteri Persekutuan.

"Usaha ini membuktikan, kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi negeri Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021, di sini malam Khamis.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ismail Sabri berkata seluruh rakyat Malaysia seharusnya bersyukur apabila setiap cabaran berjaya ditangani dan dihadapi sebagai sebuah negara dengan kerangka tindakan toleransi dan demokratik, berpaksikan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata Malaysia yang terbentuk pada 16 Sept 1963 melalui Perjanjian Malaysia (MA63), masih utuh sebagai sebuah negara yang aman, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Payung Perpaduan Negara.

Menurutnya nama-nama seperti Datu Mat Salleh, Tun Mohd Fuad Stephens dan Tun Datu Mustapha Datu Harun merupakan tokoh pejuang gemilang dalam sejarah Sabah, manakala  Datu Patinggi Abang Ali, Temenggong  Jugah dan Rentap adalah antara tokoh kemerdekaan Sarawak.

Justeru, beliau berkata semangat tokoh-tokoh pejuang ini tidak seharusnya terhenti dalam perang melawan musuh yang tidak nampak  iaitu pandemik COVID-19.

"Semangat juang ini harus mengalir dalam darah setiap ahli Keluarga Malaysia bagi memerdekakan diri, keluarga serta tanah air daripada kemelut pandemik," katanya.

Beliau berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk memulihkan sektor ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik, selain turut memberi tumpuan dalam memastikan pembangunan mampan dan seimbang merentasi wilayah.

Mengambil semangat sambutan Hari Malaysia, Perdana Menteri menyeru semua pihak menghayati dengan mendalam makna hari yang bersejarah ini dan bertoleransi dalam semua perkara, hormat-menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik demi negara tercinta.

"Ayuh Keluarga Malaysia, kita bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Perdana Menteri berkata perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa, selain integrasi nasional silang budaya, serta merentasi ideologi politik, adalah tunjang kekuatan sebuah negara bangsa yang berjaya. - BERNAMA
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 17-9-2021 09:55 AM | Show all posts
Pendekatan 'Keluarga Malaysia' dalam rundingan hak Sarawak

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak akan mengambil pendekatan semangat 'Keluarga Malaysia' dalam rundingan berkaitan hak-hak negeri dengan Kerajaan Persekutuan, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada tiga wilayah harus mengutamakan semangat hormat-menghormati sambil mengiktiraf hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya dalam perjalanan selama 58 tahun penubuhan Malaysia terdapat perkara-perkara yang belum dilaksanakan mengikut Perlembagaan dan MA63 yang harus dibawa ke meja rundingan.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sudah mengadakan rundingan sejak 2015 lagi dan rundingan akan terus diadakan.

Saya berharap inisiatif untuk terus berunding mengenai MA63 seperti terkandung dalam Memorandum Persefahaman Transformasi Kestabilan Politik (MOU) antara Kerajaan Persekutuan dan pembangkang (Pakatan Harapan) pada 13 Sept lepas akan membawa kepada hasil menang-menang kepada negeri dan Persekutuan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021 peringkat negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, malam Khamis.

Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sarawak pada tahun ini diadakan dalam norma baharu dan disiarkan secara langsung.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, menjadi tetamu kehormat pada majlis itu yang turut dihadiri menteri-menteri negeri.

Sementara itu, Abang Johari berkata sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, beliau berharap agar “Keluarga Malaysia” yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah akan terus diperkukuhkan bagi mencapai kestabilan dan kemajuan.

“Sebagai Ketua Kerajaan Sarawak, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus berusaha mengembalikan mana-mana hak Sarawak yang terhakis melalui rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terus menunjukkan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat di Sarawak,” katanya.- BERNAMA


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-5-2024 05:36 AM GMT+8 , Processed in 0.052093 second(s), 32 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list