Tiga beranak maut tertimbus stok baju di sebuah gudang pakaian di Kawasan Ratu Zaleha, Gang KH Dewantara 2 RT 19, Kelurahan Karang Mekar, Kalimantan Selatan, lapor DetikNews.
Kejadian malang itu mengorbankan sepasang suami isteri, Ahmad Saubari, 42, dan Siti Khadijah, 33, yang merupakan penjaga gudang bersama anak mereka berusia enam tahun.
Polis mengeluarkan mayat mangsa yang maut tertimbus dalam timbunan stok baju di gudang pakaian di Kalimantan Selatan. - BANJARMASINPOST.CO.ID/NOOR MASRIDA
Menurut Ketua Polis Banjarmasin, Komisioner Besar Rachmad Hendrawan, mangsa dikhuatiri sudah dua hari meninggal dunia sebelum ditemui anak pemilik gudang bernama Suri.
“Menerusi soal siat bersama jiran tetangga, tiga beranak itu sudah dua hari tidak pulang ke rumah lalu mereka menyatakan hal tersebut kepada pemilik gudang.
“Pemiliknya menghantar Suri untuk memeriksa keadaan di gudang sebelum mendapati timbunan baju yang terbalik dan tiada kelibat mangsa selepas beberapa kali dipanggil,” jelas Rachmad.
Ketiga-tiga mangsa ditemui selepas Suri memanggil ahli keluarga lain untuk mengalihkan timbunan kain dan mayat terperangkap di bawahnya sudah membusuk.
Jenazah tiga beranak itu kemudiannya dibawa ke Hospital Uli Banjarmasin untuk proses bedah siasat punca kematian.
Sumber: Kosmo |