CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3894|Reply: 3

[Cadangan] Majikan tiada kuasa wajibkan pelalian

[Copy link]
Post time 1-9-2021 01:29 PM | Show all posts |Read mode
Majikan tiada kuasa wajibkan pelalianOleh Fahmy A Rosli - September 1, 2021 @ 11:39amfahmy.azril@bh.com.my

l=][/url][url=][/url][url=][/url][url=][/url][url=][/url]


Petugas kesihatan menyuntik vaksin COVID-19 kepada peniaga dan penjaja serta pekerja warga asing pada program Mobilisasi Vaksinasi Komuniti Penang Vaksinasi Penjaja di Stadium Bandar Raya Pulau Pinang. - Foto NSTP/MIKAIL ONG

KUALA LUMPUR: Majikan tidak mempunyai punca kuasa untuk memaksa kakitangan mengambil vaksin COVID-19.

Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin, berkata ada pihak memaksa pekerja kerana mahu mereka dilindungi dari jangkitan COVID-19 dan persekitaran tempat kerja selamat, namun itu mungkin diskriminasi dalam sektor pekerjaan.

Beliau berkata, paksaan ialah langkah tidak wajar pada waktu ini kerana tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, terhadap mana-mana individu.

"Majikan tidak mempunyai punca kuasa untuk memaksa pekerja menerima pelalian ini.

"Peruntukan Seksyen 24 Akta Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan (AKKP) 1994 menuntut majikan memastikan keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain di tempat kerja.

"Tetapi peruntukan itu tidak seharusnya diperluas kuasanya untuk mewajibkan vaksinasi di tempat kerja. AKKP 1994 tidak pernah memperuntuk apa-apa syarat vaksinasi di dalam akta berkenaan.

"Oleh itu, MSOSH berpandangan Seksyen 24 AKKP 1994 tidak boleh digunakan untuk mewajibkan vaksinasi di tempat kerja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Shawaludin berkata, MSOSH bimbang dengan langkah diambil majikan atau kerajaan untuk memaksa pekerja divaksinasi tanpa punca kuasa yang jelas boleh memburukkan lagi keadaan.

Katanya, tindakan itu akan mencetuskan persepsi tidak baik terhadap program imunisasi kebangsaan.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan mengambil jalan tengah iaitu meneruskan kempen kepada rakyat dan pekerja secara proaktif.

"Walaupun vaksin masih lagi dianggap sebagai pilihan peribadi, MSOSH sangat menggalakkan pekerja untuk mendapatkan vaksinasi, demi melindungi diri dan keluarga. Perlu diingatkan juga, hak bekerja satu dari hak asasi manusia.

"Data di Malaysia dan negara lain menunjukkan program vaksinasi COVID-19 berjaya mengekang wabak ini.

"MSOSH berharap kerajaan dan majikan akan terus memberi dorongan dan pemahaman berterusan yang berkesan untuk meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 negara," katanya.






Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 1-9-2021 02:23 PM From the mobile phone | Show all posts
Mmg la majikan x de hak nk paksa...tp majikan blh je buang ko sbb ingkar polisi co kan?
Bila dh kna buang tu, msosh blh tolong ke staf ni saman company?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-9-2021 09:35 PM From the mobile phone | Show all posts

NASIONAL

Majikan ada kuasa wajibkan semua pekerja divaksin

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
September 2, 2021 @ 4:16pm
ajohari@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Majikan sektor swasta mempunyai kuasa untuk mewajibkan kakitangan masing-masing mengambil vaksin COVID-19 bagi mencegah penularan wabak itu di premis masing-masing.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Umar Abdul Razak, berkata mengikut Seksyen 15 dan 16 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 (AKKP) majikan ada kuasa membuat dasar keselamatan dan kesihatan bagi memastikan keselamatan di tempat kerja.

Beliau berkata, mewajibkan vaksinasi adalah antara kaedah untuk memastikan tempat kerja selamat daripada menjadi kluster penyebaran wabak kerana tempat kerja menyumbang kepada majoriti kes COVID-19 di negara ini.

Katanya, adalah munasabah jika majikan mengenakan syarat itu untuk membendung penyebaran wabak COVID-19 di tempat kerja dan seterusnya menjangkiti komuniti.

"Namun, majikan perlu mengambil kira hak pekerja yang tidak boleh divaksin atas sebab-sebab kesihatan.

"Majikan juga boleh meminta pekerja menandatangani kontrak pekerjaan baharu yang mempunyai peruntukan mewajibkan vaksin ini.

"Kontrak ini tidak boleh dicabar di mahkamah kerana ia adalah kontrak persendirian di antara dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja," katanya.

Muhammad Umar berkata, majikan mempunyai hak mengikut Seksyen 15 dan 16 AKKP untuk melindungi pekerja yang sudah menerima vaksin dengan memastikan tempat kerja adalah selamat untuk semua.

Beliau berkata, akta itu juga memperuntukkan kuasa seorang pegawai keselamatan dan kesihatan yang dilantik untuk memastikan tempat kerja adalah selamat.

Katanya, pegawai yang dilantik perlu memainkan peranan membuat dasar keselamatan dan kesihatan tempat kerja yang perlu dipatuhi oleh semua pekerja.

Menurutnya, kerajaan juga boleh meminda akta sedia ada kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, ia boleh menggubal undang-undang yang bersifat diskriminatif atas alasan keselamatan dan kesihatan awam di bawah Perkara 9(3) Perlembagaan.

Katanya, pindaan itu bagaimanapun memerlukan undi majoriti ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan.

Peguam, Fahmi Abdul Moin, berkata walaupun tiada peruntukan memberi kuasa kepada majikan mewajibkan pekerja divaksin, asas utama sektor pekerjaan ialah majikan wajib memastikan keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain di tempat kerja.

Beliau berkata, ia jelas dinyatakan mengikut Seksyen 24 AKKP dan di dalam mana-mana sektor, setiap majikan akan menyediakan perjanjian pekerjaan membabitkan terma yang wajib diikuti oleh pekerja sebelum menerima mereka.

Katanya, kedua-dua pihak harus sedia maklum berhubung terma dan syarat yang ditetapkan apabila menjalankan urusan dalam sektor di tempat mereka bekerja.

"Secara asasnya, setakat hari ini, tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan mana-mana individu untuk menerima suntikan vaksin.

"Akta 342 (Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998) tidak meletakkan kesalahan kepada orang yang enggan menerima vaksin COVID- 19 dan tidak termaktub kepada satu kesalahan jenayah. Penerimaan vaksin mestilah secara sukarela dan tiada unsur paksaan," katanya.

Fahmi berkata, bagaimanapun jika ada pekerja yang enggan divaksin dan perbuatan itu boleh mendedahkan pekerja lain terhadap wabak, majikan perlu mengambil tindakan tegas dengan memberi surat tunjuk dan jika masih enggan, tindakan buang kerja boleh dilakukan.

Bagaimanapun katanya, ia harus mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan oleh Jabatan Sumber Manusia atau undang-undang buruh.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-9-2021 05:51 PM From the mobile phone | Show all posts
Pekerja enggan divaksin boleh dikenakan tindakan - Saravanan

Bernama
September 3, 2021 10:31 MYT

Datuk Seri M.Saravanan berkata walaupun tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 namun AKKP 1994 menuntut majikan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan tidak mengancam kesihatan pekerja. - Foto BERNAMA

IPOH: Pekerja yang enggan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 kerana menyebabkan suasana tempat kerja yang tidak selamat.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata walaupun tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 namun AKKP 1994 menuntut majikan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan tidak mengancam kesihatan pekerja.

"Akta berkaitan keselamatan tempat kerja masih boleh dikuatkuasakan sebab tempat itu tidak selamat dari segi persekitaran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada balu seorang pengawal keselamatan di Taman Buntong Ria, di sini hari ini.

Pada 29 Dis tahun lalu, Thava Sagayam, 64, cedera selepas diserang oleh seorang penyewa sebuah kondominium di sini selepas anaknya dilarang menggunakan kolam renang yang ditutup.

Mangsa dimasukkan ke hospital kerana kecederaan dialami dan menjalani beberapa siri pembedahan di bahagian kepala dan meninggal dunia Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Saravanan berkata kilang atau premis yang tidak mempunyai ruang pengudaraan yang baik juga boleh dikenakan tindakan mengikut akta sama.
Justeru, beliau meminta semua pihak bersama-sama menyokong pendekatan program vaksinasi bagi memastikan negara bebas daripada jangkitan COVID-19 khususnya di tempat kerja.
Rabu lepas, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia Dr Shawaludin Husin dilapor berkata majikan tidak mempunyai kuasa untuk memaksa kakitangan mengambil vaksin COVID-19.

Menurut Shawaludin paksaan ialah langkah tidak wajar pada waktu ini kerana tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 terhadap mana-mana individu.
-- BERNAMA
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-3-2024 05:44 PM GMT+8 , Processed in 0.076734 second(s), 32 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list