BEAUFORT: Tindakan seorang lelaki mengamuk dan mengugut mahu membakar rumah majikannya membawa padah selepas ditahan polis di Kampung Siaun Menumbok, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata suspek warga Indonesia dipercayai bertindak demikian kerana tidak berpuas hati selepas diberhentikan kerja.
“Hasil siasatan mendapati suspek dikatakan datang ke rumah bekas majikannya dengan membawa parang panjang sambil berteriak mencari isteri, anak serta majikannya kira-kira jam 8 pagi.
“Semasa kejadian, hanya anak lelaki bekas majikannya yang berumur 18 tahun berada di rumah dan segera memaklumkan perkara itu kepada bapanya sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek adalah bekas pekerja ladang sawit milik bapa pengadu dan diberhentikan kerja oleh majikannya kerana malas bekerja dan dipercayai mengambil dadah jenis syabu.
"Suspek yang tidak puas hati dengan keputusan itu kemudiannya datang ke rumah majikannya dengan membawa parang sambil mengamuk sebelum beredar.
"Beberapa minit kemudian, sebaik tiba di rumaj majikannya turut menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek yang menyatakan akan membakar rumah majikannya," katanya.
Menurutnya hasil siasatan kemudiannya berjaya mengesan seterusnya menahan suspek di tepi Jalan Kuala Penyu - Menumbok di Kampung Kayul kira-kira jam 7.40 malam.
"Siasatan masih dijalankan dan suspek belum membuat sebarang pengakuan berkenaan kejadian itu.
“Soal siasat akan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/09/01
|