CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1004|Reply: 0

Kesan taklid pada akidah

[Copy link]
Post time 26-8-2021 06:29 PM | Show all posts |Read mode
Kesan taklid pada akidah


MENDALAMI ilmu agama termasuk pengajian akidah adalah perkara yang difardukan ke atas setiap orang Islam.

BERIMAN kepada Allah SWT adalah Rukun Iman yang pertama bahkan menjadi kewajiban ke atas setiap mukalaf meyakininya. Walaupun begitu, keyakinan kepada Allah SWT Yang Maha Esa ini semestinya berlandaskan kepada tatacara yang dijelaskan ulama muktabar dalam akidah. Antara perkara yang mesti dielakkan dalam bab akidah atas setiap mukalaf ialah pegangan bertunjangkan taklid.

Hal ini berlaku kerana keyakinan berdasarkan kepada taklid dalam bab akidah akan membawa dirinya ke arah kebinasaan. Bukan itu saja, bahkan Shaykh Dawud al-Fatani menyatakan dalam al-Dur al-Thamin bahawa orang yang bertaklid dalam akidah sedangkan dia mampu belajar itu tidak disebutkan sebagai orang yang mengenal Allah SWT dengan sebenar meskipun sudah berkeyakinan Allah SWT itu adalah Tuhan bagi sekalian alam. Shaykh al-Hudhudi menjelaskan dalam Sharah Umm al-Barahin bahawa seseorang yang mengikuti perkataan atau keyakinan orang lain tanpa mengetahui dalilnya itu dinamakan sebagai taklid.

Perkara ini tidak menafikan keharusan bertaklid pada perkara yang berkaitan dengan cabang agama seperti fiqah apabila orang awam akan bertaklid kepada mufti terhadap hukum yang dikeluarkan. Oleh yang demikian, perbahasan terhadap taklid kepada orang lain dalam bab pegangan ini berlaku perselisihan ulama kepada enam pandangan.

Imam Ibrahim al-Bayjuri menukilkan pandangan pertama daripada Imam Muhammad bin Yusuf al-Sanusi dalam al-Kubra bahawa orang yang bertaklid dalam perkara ini tidak sah bahkan membawa kepada lembah kekufuran. Pandangan yang kedua menyatakan bertaklid dalam perkara yang membabitkan unsur akidah ini memadai dan sah.

Bagaimanapun, dosa tetap berlaku sama ada dia seorang ahli nazar (orang yang mampu belajar dan berfikiran waras) ataupun tidak. Sebaliknya, pandangan yang ketiga menjelaskan taklid itu sah serta dosa hanya berlaku kepada ahli nazar (orang yang mampu belajar dan berfikiran waras) sahaja. Seterusnya, pandangan keempat menerangkan bahawa jika seseorang itu bertaklid kepada sumber primer daripada al-Quran dan al-Sunnah yang membawa kefahaman akidah yang jelas tanpa samar maka sah imannya.

Hal ini berlaku kerana seseorang bertaklid kepada sumber qati'e (putus dan yakin) dan ia bersesuaian dengan tuntutan syarak yang hanya membenarkan pegangan akidah bersumberkan perkara yang qati'e terutama membabitkan ketuhanan dan kerasulan. Walaupun begitu, jikalau seseorang itu berpegang dan bertaklid dalam perkara akidah kepada selain sumber primer itu maka tidak sah pegangan serta imannya kerana sumber keyakinannya tidak terlepas daripada kemungkinan berlakunya kesalahan dan kepincangan.

Kemudian pandangan kelima pula menerangkan taklid dalam perkara akidah membawa kepada sah imannya dan tidak berdosa secara mutlak sama ada seseorang itu di bawah kategori ahli nazar (orang yang mampu belajar dan berfikiran waras) atau sebaliknya.

Namun, atas pandangan ini menjuruskan kefahaman bahawa seseorang yang diklasifikasikan sebagai ahli nazar itu telah meninggalkan perkara yang lebih utama baginya iaitu mencari dalil dalam bab akidah. Imam Ahmad al-Ajhuri menjelaskan dalam Taqrirat Tuhfah al-Murid Sharah Jawharah al-Tawhid bahawasanya pandangan keenam iaitu iman orang yang bertaklid itu sah bahkan diharamkan untuk menilik dan menuntut dalil padanya adalah pendapat yang sudah bercampur-baur dengan unsur falsafah.

Pandangan ini ditolak oleh ulama akidah bahkan ia bukan pandangan muktamad dalam perbincangan taklid pada perkara membabitkan akidah. Jumhur ulama termasuk ulama Melayu di Nusantara seperti Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani dalam Fath al-Majid Sharah al-Dur al-Farid, Tuan Minal dalam Aqidah al-Najin dan ulama Arab umpama Imam al-Bayjuri dalam Tuhfah al-Murid, Imam Muhammad al-Dusuqi dalam Hashiyah al-Dusuqi 'ala Umm al-Barahin dan sebagainya mengetengahkan pandangan muktamad berkaitan taklid ini ialah pandangan ketiga iaitu sah imannya serta berdosa hanya tertakluk kepada ahli nazar (orang yang mampu belajar dan berfikiran waras) sahaja. Perbahasan khilaf ulama pada taklid dalam akidah ini hanya berlaku jikalau seseorang itu berkeyakinan terhadap sesuatu pegangan berkenaan dengan jalan yakin.

Sebaliknya, jika keadaan orang yang bertaklid itu berpegang dalam perkara akidah secara zhan atau syak maka ulama bersepakat terhadap penafian sahnya iman orang terbabit tanpa khilaf. Walaupun begitu, orang awam sepatutnya memahami bahawa pengisbatan terhadap kufur atau tidak dalam bertaklid ini hanya dinisbahkan kepada hukum ukhrawi sahaja.

Adapun daripada sudut hukum duniawi, wajib atas setiap orang melayani dan memperlakukannya sebagai seorang Islam biasa melainkan terdapat bukti serta dalil yang kukuh menyatakan bahawa dia benar-benar melakukan perkara yang boleh menyebabkan jatuh kufur seperti menyembah berhala. Oleh yang demikian, semestinya setiap orang yang bergelar mukalaf mengambil perhatian yang serius dalam pegangan akidah mereka terhadap Allah SWT dan sekalian rasul-Nya dengan belajar bersungguh-sungguh supaya mendapati diri mereka faham apa yang sepatutnya diyakini menurut tuntutan syarak serta tuntunan daripada ulama muktabar.

Shaykh al-Nawawi al-Bantani menjelaskan dalam Tijan al-Darari Sharah Risalah al-Tawhid Imam al-Bayjuri bahawa wajib atas setiap mukalaf mengetahui dalil secara ijmali (umum) sama ada daripada dalil akal ataupun daripada naqal yang bersumberkan daripada al-Quran dan al-Sunnah. Imam Abdullah al-Sharqawi menjelaskan dalam Hashiyah al-Sharqawi 'ala Sharah al-Hudhudi bahawa dalil tafsili ataupun burhan (dalil secara terperinci) hanya wajib dan fardu kifayah atas seseorang pada setiap tempat yang jaraknya dua marhalah. Shaykh Dawud al-Fatani menyatakan dalam al-Dur al-Thamin bahawa kelepasan tuntutan fardu kifayah pada setiap dua marhalah itu tercapai jikalau terdapat seorang sahaja yang mampu menghuraikan dalil secara jelas dan terperinci serta mampu menolak segala jenis syubhah yang didatangkan oleh pihak lawan.

Jika tidak memenuhi kriteria itu maka jelas tempat itu masih tidak mempunyai wakil untuk melepaskan tuntutan fardu kifayah daripada sudut pengetahuan dalil secara tafsili dalam merungkaikan masalah yang berkait rapat dengan akidah umat Islam. Oleh itu, pengukuhan akidah pada diri setiap Muslim amat penting bagi menjamin keselamatan di dunia daripada serangan pemikiran yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunah Waljamaah dan akhirat dengan menikmati keindahan syurga Allah SWT serta terhindar daripada menjunam ke api neraka dengan izin Allah SWT.

Akidah yang betul dan selamat berdasarkan tuntunan ulama Ahli Sunah Waljamaah membawa kepada penerimaan Allah SWT terhadap segala ibadah kita bahkan menjurus kepada jiwa dan hati yang tenang serta suci daripada unsur syirik lagi kufur. Bersama-samalah kita membuang pegangan berasaskan taklid dan mengubahnya ke arah pegangan yang berteraskan dalil agar senantiasa di bawah payungan reda serta rahmat Allah SWT.

Penulis pelajar Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Usuluddin) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

30-4-2024 12:05 AM GMT+8 , Processed in 0.072933 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list