Ciptaan Robot Daripada Barangan Elektrik Terpakai Bantu Penduduk Kampung
Ciptaan robot menggunakan barangan elektrik terpakai ini menjadi salah satu inisiatif yang dilakukan oleh penduduk Kampung Tebok Gede, Surabaya dan saintis di Indonesia dalam berdepan dengan wabak yang melanda.
Tujuan asal ciptaan robot ini hanyalah untuk suka-suka. Ianya digunakan untuk membawa makanan dan memberi semangat kepada individu yang sedang menjalani kuarantin.
Terhasil daripada barangan elektrik terpakai
Digelar dengan nama ‘robot Delta’ sempena wabak yang mudah menular di Indonesia, ianya diperbuat daripada barangan elektrik seperti periuk, kuali, monitor televisyen dan lain-lain. Kreatifnya!
Memetik laporan Astro Awani, ketua kejiranan perumahan yang dikenali sebagai Aseyanto berkata, dia telah mengetuai projek tersebut dan mencipta robot itu untuk membantu penduduk.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah seperti menyembur pembasmi kuman, menghantar makanan dan memenuhi keperluan penduduk yang menjalani kuaratin di rumah.
Cara robot Delta berfungsi
Pasti ramai yang tertanya bagaimana cara robot ini bekerja. Kepala robot tersebut diperbuat daripada periuk nasi dan dikendalikan menggunakan alat kawalan jauh.
Bukan itu saja, jangka hayat bateri ini juga bertahan selama 12 jam. Ini bermakna, robot ini boleh bekerja dan membantu penduduk lebih kurang setengah hari berdasarkan jangka hayat bateri.
Robot bukan hanya sekadar robot tetapi ciptaan teknologi ini juga boleh mengeluarkan kata-kata. Setiap kali tiba di rumah pesakit wabak, robot itu akan memberi salam.
Assalamualaikum, penghantaran telah tiba. Semoga cepat sembuh.
Menurut Aseyanto, walaupun teknologi robot ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan teknologi di Jepun, namun sekurang-kurangnya ia dapat membantu penduduk di sekitar kampung untuk menjalani kehidupan seharian.
Ciptaan ini sememangnya menjadi rekaan yang cukup kreatif dan dapat menjana idea di tempat-tempat lain untuk mencipta robot seperti ini.