|
London: Pertahanan Leicester, Wesley Fofana berkata dia mengalami patah kaki ketika aksi pramusim persahabatan menentang Villarreal.
Fofana mengalami patah kaki selepas dibentes penyerang Villarreal, Nino pada separuh masa kedua di Stadium King Power semalam.
Pertahanan skuad bawah 21 tahun Perancis itu mendapat rawatan yang lama di atas padang, termasuk diberi bantuan oksigen, sebelum diusung keluar.
"Hello semua, terima kasih di atas ucapan. Ia hari yang malang tapi saya mendapat rawatan terbaik dari pasukan perubatan kelab.
"Saya akan memberitahu anda perkembangan terkini selepas melakukan pemeriksaan terakhir namun kita semua tahu bahawa saya mengalami patah kaki. Saya akan kembali dengan lebih kuat tidak lama lagi, jangan risau," kata Fofana di Instagram.
Fofana beraksi cemerlang dengan The Foxes musim lalu selepas menyertai dari Saint Etienne Oktober 2020.
Dia melakukan 38 penampilan bersama Leicester yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kelima dan memenangi Piala FA buat kali pertama dalam sejarah.
Kecederaan Fofana satu tamparan hebat buat Leicester menjelang musim baru EPL.
Mereka juga akan beraksi dalam Perisai Komuniti menentang Manchester City di Wembley Sabtu ini.
"Ia adalah kecederaan yang sangat dahsyat bagi kami dan ia jelas satu musibah untuknya, dan untuk semua orang kerana dia pemain muda berkelas dunia. Ia akan menjadi kerugian besar bagi kami, " kata bos Leicester, Brendan Rodgers.
sumber : HMetro
|
|