|
Pekerja Taco Bell terjun dalam sinki dapur
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA 20 Jun 2021, 4:40 pm
NEW YORK: Seorang pekerja restoran makanan segera nekad terjun di dalam sinki yang dipenuhi air sabun semasa hari terakhirnya bekerja.
Lapor Daily Mail, Steven Pauley, 20 dari West Virginia yang bekerja di Taco Bell memuat naik video dirinya sendiri dalam TikTok.
Steven berhenti kerja dan ingin menyambut hari terakhirnya dengan penuh bergaya.
Oleh itu, dia meminta rakannya merekodkan videonya menyelam ke dalam sinki dapur sehingga percikan air melimpah keluar.
Selepas itu, Steven melangkah keluar dari sinki sambil memegang peralatan dapur di tangannya.
Steven berkata, ramai orang memberi tanggapan buruk terhadap video tersebut.
Namun, katanya dia berhenti kerja mengikut prosedur ditetapkan dan memberikan notis dua minggu bekerja.
“Pada hari terakhir, saya membersihkan kedai seperti biasa dan menyelesaikan apa yang patut.
“Kami selesai bekerja pada pukul 4 pagi dan kemudian mengisi air sinki. Air itu biasanya cukup panas, jadi saya meletakkan sedikit ais ke dalamnya,” katanya.
|
|