|
Melalui fasa cinta dan menyambung semula ikatan yang terlerai mengajar pelakon tinggi lampai, Mimi Lana, 26, erti cinta sejati.
Lima tahun melayari bahtera cinta bersama aktor kacak, Syafiq Kyle sebelum memutuskan untuk berpisah pada Mei tahun lalu, Mimi akhirnya akur, rasa cinta, kasih, sayang dan rindu masih wujud antara mereka.
Meskipun tidak menyatakan secara rasmi kembali berpacaran, namun menerusi hantaran yang dimuat naik Mimi atau Mimi Rozaiana Zainal Abidin dalam Instagram (IG) Story, beberapa bulan lalu bagaikan mengesahkan cinta kembali bertaut.
Foto: IG
Entri itu memaparkan video dan foto Syafiq menghadiahkan sejambak bunga dengan diiringi kad yang tertera ucapan romantis sempena sambutan ulang tahun Mimi ke-25 pada November, tahun lalu.
Ibarat peluang kedua diberikan dalam hidup, pelakon yang menempa populariti menerusi drama Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa dan Hati Yang Tersakiti itu mengakui, pengalaman perpisahan menjadikannya dan Syafiq lebih matang dalam mengharungi perhubungan.
"Alhamdulillah, hubungan saya dan Syafiq kini baik-baik sahaja. Apa yang dapat disimpulkan, inilah adalah peluang kedua diberikan, jadi percintaan kami semakin matang.
"Kami sudah lama menjalinkan hubungan cinta, hendak masuk enam tahun. Setiap tahun, daripada tahun pertama hingga sekarang, banyak perkara dipelajari. Antaranya, jika mahu selesaikan sesuatu masalah, kita kena sama-sama menghadapinya dengan cara lebih matang," luahnya kepada BH Online.
Bagi memastikan kesilapan yang sama tidak berulang dan mahu menjaga kerukunan hubungan terjalin hingga sampai ke jenjang pelamin, pelakon filem Pusaka itu mendedahkan, mereka perlu mengenali dan menyayangi diri sendiri terlebih dahulu, sebelum melakukan perkara sama kepada pasangan.
"erkara utama dipelajari daripada perpisahan ini ialah kami perlu kenal diri dan menyayangi diri sendiri sebelum menyayangi orang lain.
"Jika kita sendiri tidak mampu nak menyayangi diri sendiri, mana mungkin mampu melakukan perkara sama pada insan lain. Justeru, saya dan Syafiq perlu ada sifat ini untuk mencipta hubungan yang berlandaskan cinta sejati," ungkap Mimi.
Tempoh berpacaran mungkin bukan menjadi satu ukuran sama ada sudah bersedia melangkah ke fasa lebih serius dan tidakkah pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program Dewi Remaja 2014/2015 itu mahu menamatkan kisah cinta dengan ikatan perkahwinan.
Menjawab pertanyaan itu, Mimi berkata, perkara itu pernah dibincangkan bersama pelakon drama rantaian Nur itu, namun ia hanyalah sekadar perbualan biasa antara pasangan kekasih.
"Apabila bercinta, memanglah kami ada perancangan untuk membawa hubungan ke fasa seterusnya. Namun, dengan situasi sekarang, ia bukanlah masa yang sesuai.
"Tarikh perkahwinan memang tiada lagi. Jika nak diikutkan, saya memang sudah bersedia untuk berumah tangga. Cuma, saya tidak tahu bila. Cepat atau lewat, soal jodoh biarlah Allah yang tentukan.
"ada waktu ini, saya hanya mahu menjadi seorang insan dan wanita yang lebih baik. Apapun, saya percaya, jika niat murni, Tuhan akan permudahkan," jelas Mimi.
Diusik pertanyaan apakah dia tidak bimbang jika status isteri yang bakal digalasnya bakal menjejaskan populariti dan kerjaya seni yang semakin memuncak, Mimi lebih selesa bersikap positif dan percaya kepada rezeki.
"Jujurnya, saya tidak pernah risau soal populariti terjejas apabila sudah bergelar isteri. Saya percaya semua ini sudah diatur Tuhan. Saya tidak boleh tolak atau merungut.
"Mungkin ada orang berpendapat, rezeki pada mereka adalah kemasyhuran dan duit. Pendapat orang berbeza-beza. Saya pula lebih yakin perkahwinan akan lebih membuatkan rezeki seseorang bertambah," ujar Mimi optimis.
Baru-baru ini, ketika isu Zionis Israel menyerang bumi Palestin sedang hangat, Mimi mengeluarkan kenyataan sanggup menolak sesi fotografi ditawarkan jenama antarabangsa, Dior sebagai tanda sokongannya mempertahankan Palestin.
Mimi dilaporkan berkata, antara sebab penolakan itu juga selepas pembatalan kontrak model antarabangsa, Bella Hadid bersama jenama itu kerana lantang memperjuangkan hak penduduk Palestin yang dirampas rejim Zionis.
Sikap berani dan ketegasan pelakon itu nyata mendapat pujian netizen yang rata-rata kagum dengan ketegasan dan solidariti yang ditunjukkannya.
Diajak berbicara mengenai perkara itu, Mimi memaklumkan, ia dibuat atas sifat prihatin terhadap isu kemanusiaan sejagat.
"Tidak dinafikan, saya risau ketika mahu menjelaskan pada pihak pengurusan jenama berkenaan. Tetapi, memikirkan apa yang dilakukan tindakan tepat, saya teruskan juga.
"Lagipun, isu Palestin-Israel sedang hangat diperkatakan. Saya tidak mahu mengambil risiko, lebih lagi, Malaysia adalah negara yang majoriti beragama Islam," terangnya.
Ditanya apakah tidak risau jika namanya disenarai hitam berikutan tindakannya itu, Mimi bersyukur, pihak pengurusan jenama berkenaan bersikap profesional.
"Mereka memahami situasi dan terima penjelasan diberikan. Hubungan kami tiada masalah, malah masih lagi ada kerjasama lain dibuat selepas itu," kata Mimi lagi.
Dalam perkembangan lain, Mimi kini muncul dalam drama rantaian berjudul Masih Ada Rindu yang sedang hangat menghiasi slot Akasia di TV3.
Drama arahan Osman Ali itu menyaksikan Mimi bergandingan dengan pelakon hebat, Farid Kamil.
Berkongsi pengalamannya membintangi drama itu, Mimi berkata, dia bertuah dapat bekerjasama dengan insan seni hebat seperti Osman.
"Kita tahu Osman pengarah yang bukan sahaja mampu menzahirkan sinematografi menarik dalam setiap naskhah, malah kebanyakan karya lebih kepada bermain dengan emosi.
"Saya seronok dapat bekerja di bawah arahannya. Dia seorang yang teliti dan mencari kesempurnaan. Walaupun banyak kali berlatih, tetapi saya tidak kisah kerana tahu hasilnya pasti memuaskan hati.
"Selain Osman, naskhah ini juga buat pertama kali mempertemukan saya dengan Farid. Senang bekerja dengan Farid. Walaupun kami perlu melakonkan babak romantis, tetapi dia tetap profesional, meskipun sudah berstatus suami orang," cerita Mimi yang memegang watak Nurul Syafika dalam drama itu.
Masih Ada Rindu adalah drama adaptasi novel bertajuk sama karya Mimie Afinie. Selain Mimi dan Farid, ia turut dibintangi Dayang Areeda, Halim Radzi dan Aishah Ilias.
Mimi dan Syafiq mengungguli kategori Gandingan Serasi Filem Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 menerusi filem Pusaka.
Selepas Osman, Mimi akan bekerjasama dengan dua pengarah filem hebat, Kabir Bhatia dan Bernard Chauly siaran di platform Iflix. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|