'Kembali bersatu, 'Nsync tak pernah berpecah' - Joey Fatone
ANGGOTA kumpulan 'Nsync, Joey Fatone kini bersiap sedia untuk menyatukan semula kesemua rakannya dalam kumpulan itu dan tidak menolak sekiranya mereka bakal muncul dengan album baharu.
Dalam temu bual bersama media antarabangsa, Fatone memaklumkan bahawa 'Nsync tidak pernah berpecah.
"Saya tak boleh nak bercakap bagi pihak mereka yang lain, tapi bagi saya, ia tentunya sangat menyeronokkan.
"Kenapa tidak kan? Apa yang saya boleh kongsikan, hakikatnya kami tak pernah berpecah," katanya.
Dalam temu bual sama, Fatone berkata, setiap anggota 'Nsync punya tanggungjawab masing-masing dalam kehidupan mereka.
"Semua orang membawa haluan masing-masing untuk melakukan perkara yang mereka mahu dan sekarang kami semua masih punya tanggungjawab masing-masing.
"Tapi, kalau anda nak tahu, saya rasa ia akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan sekiranya kami semua kembali bersatu semula," katanya.
Tambahnya lagi, sekiranya mereka kembali, matlamat utama bukanlah untuk menduduki carta teratas muzik dunia.
"Apa saja yang akan berlaku? Oh, kami tak menduduki carta nombor satu. Tak apa, sebab kami dah pernah berada di situ.
"Bagi saya, ia lebih kepada membuat persembahan dan berseronok dengan saudara-saudara saya yang lain," katanya.
'Nsync dibentuk pada 1995 dan dianggotai Fatone, Justin Timberlake, JC Chasez, Lance Bass dan Chris Kirkpatrick.