|
Sumber: BH Online
Penulis: Siti Haliza Yusop
KUALA LUMPUR: Aman Palestin memohon kerajaan terus memberikan sokongan termasuk memudahkan proses menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin ketika banyak saluran bantuan ke negara itu disekat Israel.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Sufian Awang Piut, berkata selain disekat, bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat Palestin dilabel sebagai sokongan kepada pengganas manakala penyumbang turut diugut selain akaun bank dibekukan.
Katanya, ada dakwaan mengatakan dana dikumpul tidak sampai kepada rakyat Palestin selain wujud pelbagai konspirasi oleh 'tangan ghaib' bagi menyekat bantuan daripada sampai kepada penduduk yang dicengkam rejim Zionis.
"Tekanan ke atas Palestin semakin hebat dan rakyatnya terus dihalau keluar dari negara mereka sendiri ketika penjajah Zionis diiktiraf sebagai penduduk sah di bumi barakah itu.
"Dunia dipaksa dengan cara tidak bertamadun untuk menerima kewujudan dan keabsahan Israel. Kezaliman dilakukan rejim Israel tidak menjadi 'jenayah'.
"Justeru Aman Palestin memohon kerajaan memberi sokongan untuk memudahkan proses penyerahan bantuan kepada rakyat di negara itu," katanya dalam sidang secara media maya bersempena Sambutan 15 tahun Aman Palestin bertemakan Bangkit, Berjuang, Bersama, hari ini.
Turut serta, Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil dan Pengurus Kelab Perwira, Nik Muhammad Rafie.
Berlangsung dalam acara sama ialah pelancaran kempen Ramadan Bersama Aman Palestin serta Pelancaran penubuhan Kelab Perwira.
Awang Sufian berkata, Aman Palestin mensasarkan kutipan sumbangan berjumlah RM15 juta untuk diagihkan kepada 250,000 penerima di dalam dan luar negara melalui kempen itu.
Katanya, sumbangan itu bukan saja akan digunakan bagi membantu mereka di Palestin, Syria, Lubnan dan Yaman malah turut disalurkan kepada penerima di Malaysia serta Indonesia.
"Sumbangan melalui kempen itu untuk disalurkan kepada mereka yang terjejas ekonomi akibat penularan COVID-19.
"Bantuan kepada rakyat terjejas di Malaysia dan Indonesia dilakukan melalui kempen Ramadan Bersama yang akan dihantar secara terus oleh sukarelawan Kelab Perwira di bawah Aman Palestin," katanya.
Sementara itu, Muhd Farhan berkata, kempen Ramadan Bersama digerakkan sejak Sabtu lalu dan sumbangan boleh dilakukan di laman jommenyumbang.com.
Katanya, kempen akan berlangsung sehingga hari terakhir Ramadan bagi mengumpulkan sumbangan sahur dan berbuka, kotak makanan, imarah Ramadan dan hadiah raya.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|