Wanita yang masih berstatus isteri orang ditahan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) selepas disyaki berkhalwat dengan seorang lelaki di sebuah rumah sewa di Sintok, di sini, hari ini.
Mereka didapati berada dalam rumah yang disewa suami wanita berkenaan ketika diserbu anggota penguat kuasa jam 3 pagi semalam selepas menerima aduan awam berhubung kegiatan pasangan itu.
Kredit foto: Harian Metro/Ihsan JAIK
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga kanak-kanak berusia tiga hingga 13 tahun dipercayai anak wanita itu berada di dalam bilik berasingan di rumah berkenaan.
"Wanita dan lelaki itu kemudian ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen menunjukkan mereka pasangan suami isteri atau mahram yang sah..
"Malah, pemeriksaan juga mendapati motosikal lelaki berusia 30 tahun itu diletakkan di dalam rumah berkenaan untuk mengelak dikesan," katanya.
Ketika disoal siasat, wanita itu mengakui suaminya sedang menjalani hukuman penjara.
Kes disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sumber: Harian Metro |