Agensi
Hanoi: Seorang lelaki mendakwa terpaksa menjalani pembedahan plastik pada wajahnya selepas dia dijadikan bahan jenaka ketika meminta kerja.
Do Quyen yang berusia 26 tahun membuat pengakuan itu menerusi TikTok kini menjadi popular dengan penampilan terbaharunya.
Bagi mendapatkan wajah yang diidamkan, dia perlu menjalani sembilan prosedur pembedahan, lapor portal Odditycentral.com.
Penampilan terbaharunya itu ternyata mengejutkan kenalan dan ahli keluarga kerana perubahan wajah yang ketara.
Pembedahan itu dibuat khususnya pada muka, mata dan hidung.
Lelaki itu membuat keputusan menukar wajahnya selepas dia ditertawakan penemu duga kerana wajah yang tidak kacak.
Dia kini bekerja sebagai jurusolek di Saigon memberitahu pengikut TikTok bahawa dia membelanjakan sebanyak AS$17,400 (kira-kira RM70,500).
Ia untuk mentransformasikan wajahnya supaya menjadi kacak.
Quyen sebelum ini sudah lama berdepan dengan sikap sinikal masyarakat yang sering menjadikan wajahnya sebagai bahan lawak.
Namun, kini segala-galanya berubah apabila dia memiliki wajah yang jauh berbeza dengan penampilan sebelumnya.
"Saya sukar mendapatkan pekerjaan dan sering diejek setiap kali memohon kerja.
"Kos pembedahan ini ditanggung sepenuhnya daripada wang simpanan kerana saya bukan daripada keluarga berkemampuan," katanya.
Dalam pada itu, perubahan wajah lelaki ini menjadi bahan berita media tempatan di negaranya.
Ia selepas ramai yang seakan-akan tidak percaya terhadap perubahan mendadak penampilannya pada masa kini.