Kredit gambar : Instagram Ritrud27
Pelakon jelita dan juga Finalis Dewi Remaja 1997/98, Rita Rudaini diakui merupakan seorang yang berdisplin dan profesional dalam bekerja. Jadi tidak hairanlah dia mampu bertahan dan kekal relevan dalam dunia seni sehingga ke hari ini.
Untuk kekal bertahan selama lebih 2 dekad dalam industri bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak hanya bergantung pada paras jelita semata-mata.
Dalam temuramah bersama Gempak, Rita ada berkongsi pengalaman di set penggambaran dan nasihat kepada pendatang baru dalam bidang lakonan.
"Antara nasihat yang boleh saya kongsi kepada pelakon-pelakon baru, jangan sombong di set penggambaran.
Terus terang saya katakan, kebanyakkan yang saya lihat sangat berlagak, tak bertegur sapa pun dengan orang lain." katanya kepada Gempak.
Tambah Rita, seseorang pelakon baru haruslah mesra dan perkenalkan diri kepada orang lain di set penggambaran.
"Sebagai pelakon baru, kenalah ramah dan perkenalkan diri kepada orang lain.
"Pada masa yang sama, kena banyak bertanya supaya dapat fahami watak, ia akan memudahkan proses lakonan bukan sahaja untuk diri mereka, malah ia boleh memudahkan urusan seluruh produksi,' katanya lagi.
Tegas Rita, dia hanya berkongsi nasihat tanpa rasa iri hati.
"Mungkin ada yang beranggapan apabila pelakon lama tegur sebegini mungkin sebab kami dengki dan sebagainya, tidak sama sekali, ini hanya satu nasihat buat mereka." tambahnya.
Agak-agaknya siapalah pelakon baru yang dimaksudkan oleh Rita?
Kepada pelakon-pelakon baru, sila ambil nasihat kak Rita sebagai pegangan jika ingin bertahan lama dalam industri lakonan. Selain bakat dan rupa paras, sikap adalah penentu utama untuk kekal diminati ramai. - CARI
|