Sekumpulan 13 warga asing yang memakai gelang kuarantin COVID-19 berwarna putih, dikesan mengunjungi kedai runcit di Taman Kota Jaya, di sini, sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai, semalam.
Justeru bertindak atas maklumat awam, anggota pasukan pemantauan Task Force COVID-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersama pihak Kementerian Kesihatan bergegas ke lokasi dan berjaya menahan mereka di sekitar kawasan rumah kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata semua individu terbabit adalah warga Myanmar meliputi empat lelaki dan sembilan wanita berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun.
 Kredit foto: Berita Harian
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka ke kedai runcit untuk membeli stok makanan selepas menjalani ujian calitan berkaitan Kluster Jalan Lombong serta dipakaikan gelang kuarantin Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO).
"Semua individu terbabit kemudian diarahkan balik ke lokasi kuarantin masing-masing," katanya sambil memaklumkan tiada kompaun dikeluarkan terhadap mereka, dalam kenyataan melalui laman Facebook rasmi IPD Kota Tinggi.
Susulan itu, beliau berkata, pasukan pemantauan melakukan rondaan untuk memastikan semua individu dikenakan HSO berkaitan Kluster Jalan Lombong, terus ke alamat kuarantin.
" ihak polis mengucapkan terima kasih atas maklumat orang awam itu, dan ia amat digalakkan sebagai usaha bersama bagi memastikan komuniti terus berada dalam keadaan terbaik," katanya.
Sebarang aduan mengenai ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19, boleh disalurkan melalui Pusat Kawalan Daerah di talian 07-8837222. -CARI
Sumber: Berita Harian |