Kuala Lumpur: Penyanyi Nora Ariffin, Yusry Abdul Halim (KRU) dan penulis lirik Habsah Hasan antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini. Mereka masing-masing menerima kurniaan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membawa gelaran Datuk.
Nora memberikan reaksi suka bercampur duka berikutan tidak dapat berkongsi kegembiraan ini dengan Allahyarham suaminya, Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017. Bagaimanapun dia tetap bersyukur kerana dapat meraikan kurniaan daripada Yang di-Pertuan Agong ini dengan tiga anaknya iaitu Mohd Syakir Iman, Putri Nur Dahlia dan Putri Nur Fateha. Seorang lagi anaknya, Mohd Syakir Alif meninggal dunia pada 14 Disember 2019. Habsah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Chah pula merakamkan kesyukuran penganugerahan ini. Ia juga menjadi pembakar semangat buatnya yang sudah lebih empat dekad aktif sebagai penggiat seni untuk terus berkarya. Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengurniaan itu adalah sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya terhadap lapangan mereka. Menurutnya, bagaimanapun tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa penularan pandemik COVID-19.
|