Jika anda pernah menonton filem Korea berjudul Hope yang sangat menyayat hati berkisarkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dirogol dan dibelasah kejam oleh seorang lelaki, anda pasti akan geram dengan berita terbaharu ini.
Ya, lelaki itu dikenakan hukuman penjara selama 12 tahun dan semalam telah tamat menjalani hukumannya.
Bagaimanapun, berita pembebasan perogol itu mencetuskan kemarahan penunjuk perasaan dan ancaman bunuh menyebabkan pihak polis terpaksa menurunkan lebih ramai anggota bagi mengawal keadaan.
Menurut Berita Harian yang memetik The New York Times, penunjuk perasaan berhimpun di luar penjara di selatan, Seoul hari ini sambil melaungkan 'hantar dia ke neraka' dan 'kembirikan dia!' ketika pembebasan Choo Doo-soon, 68.
Foto : AP Images
Penunjuk perasaan tidak henti-henti memprotes kepada penjenayah itu yang dibawa keluar menaiki van berwarna kelabu dengan perlindungan rapi pihak polis.
"Apa jenis negara ini, melindungi perogol?"
Selain itu, beberapa penunjuk perasaan berbaring di atas jalan raya sambil memegang papan tanda menjerit slogan dalam usaha menghalang pembebasan Doo-soon.
Foto : Yonhap
Sementara itu, polis bertindak mengalihkan halangan dan membina sekatan bagi membolehkan van yang membawa Doo-soon bergerak keluar. Bagaimanapun, penunjuk perasaan dilihat menendang van berkenaan dan melemparkan telur sambil mengeluarkan kenyataan menghina.
Situasi itu memaksa pihak berkuasa untuk menambah lebih ramai anggota polis termasuk kamera pengawasan di sekitar kediamannya.
Kemarahan orang ramai semakin membuak-buak dalam beberapa bulan lalu, ketika tarikh pembebasan Doo-soon semakin hampir.
Foto : screengrab from Twitter
Rabu lalu, Majlis Kebangsaan meluluskan undang-undang yang diberi nama 'undang-undang Cho Doo-soon' yang melarang individu disabitkan atas tuduhan melakukan serangan seksual kanak-kanak bawah umur dari meninggalkan kediaman mereka pada waktu malam atau pada waktu pelajar pergi balik sekolah.
Undang-undang itu turut melarang pelaku seks seperti itu menghampiri kawasan sekolah.
Foto : Filem Hope
Mahkamah Korea Selatan sudah sekian lama dituduh kerana memberi kelonggaran terhadap proses keadilan kepada penjenayah golongan kolar putih dan pesalah seks. - CARI |