Perbandingan Pengerusi Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Datuk Mohamed Arshad Raji terhadap pengambilan arak dan amalan rasuah disifatkan sebagai mengelirukan.
Kredit foto: FB/Air Times News Network
Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, kedua-dua perbuatan tersebut dilaknat Allah SWT dan rasul.
“Langkah pengawalan arak tidak bererti kita membenarkan amalan rasuah berlaku bahkan kita hendaklah menyeru supaya kedua-dua kemungkaran ini haruslah dibanteras. Ia selaras dengan saranan Rasulullah yang melaknat penyebaran arak dan amalan rasuah,” kata Dr Ahmad Sanusi.
Menurut Dr Ahmad Sanusi, dalam kedua-dua hadis itu Rasulullah menggunakan perkataan ‘laknat’. Ini bererti perbuatan rasuah dan penyebaran arak adalah amalan yang amat terkutuk sehingga mereka yang melakukannya dilaknat Allah dan Rasul.
Jelasnya, arak dan rasuah memberikan ancaman kepada kesejahteraan negara dan tidak seharusnya seorang muslim mempersoalkan sebarang tindakan untuk mengawal penjualan arak.
“Sepatutnya tidak timbul isu mempersoalkan tindakan mengawal penjualan arak ini oleh seorang Muslim yang seharusnya melihat kedua perkara sebagai suatu keutamaan yang mesti dibanteras demi kesejahteraan ummah. Semoga Allah membimbing kita,” katanya.
Semalam, Arshad menyifatkan tindakan melarang penjualan minuman beralkohol di Kuala Lumpur sebagai tidak masuk akal, sekali gus mempersoalkan pihak berkuasa jika perbuatan meminumnya lebih berbahaya daripada rasuah.
“Cuba beritahu kami mana lebih buruk, minum arak atau rasuah? Mana yang lebih merosakkan masyarakat dan negara kita? Keburukan mana yang paling menarik orang Melayu
“Beritahu kami antara dua keburukan ini, mana harus diambil tindakan terlebih dulu, menentang larangan minuman keras atau menghapuskan rasuah dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baru mengenai lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa semalam.
Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.
Sumber: Suara Merdeka |