Remaja diseksa, diperkosa dan dibakar hidup-hidup oleh lelaki sama yang sebelum ini dipenjara kerana melakukan serangan seksual terhadapnya.
Daily Star melaporkan, Chaima Sadou, 19, diculik dan dibunuh suspek dikenali sebagai Rayan sebaik lelaki itu dibebaskan dari penjara.
Mayatnya yang rentung ditemui di sebuah stesen minyak terbiar di Thenia, Algeria pada 2 Oktober lalu.
Difahamkan, pembunuhan itu berlaku selepas mangsa cuba bangkit memulakan hidup baru susulan diperkosa kali pertama pada 2016 yang membuatkan Rayan dipenjara tiga tahun.
Ibu mangsa percaya, suspek membunuh mangsa untuk membalas dendam kerana membuatnya meringkuk di sebalik jeriji besi sepanjang tempoh itu.
Wanita itu merayu agar lelaki itu dijatuhkan hukuman mati di atas perbuatannya.
Kredit foto: Daily Star/Newsflash
Menurut pendakwa, suspek menyerah diri kepada pihak berkuasa tempatan untuk melaporkan mengenai 'rakannya yang dibakar di sebuah stesen minyak terbiar'.
Selepas mayat diperiksa, suspek kemudian mengaku melakukan pembunuhan kejam itu.
Dia mendakwa mengumpan Chaima ke lokasi sebelum memukul dan memperkosanya, lalu menyimbah petrol dan membakar mangsa. - CARI |