Kredit foto : Youtube, Malaysia Dateline
Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Bersatu) dikatakan telah mengeluarkan surat sokongan bagi membolehkan anak lelakinya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga Berhad.
Surat bertarikh 5 Jun yang menggunakan kepala surat Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia dan dialamatkan kepada Menteri Pertahananan itu, antara lain meminta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar dapat menyokong lantikan anaknya, Ikmal Hazlan yang juga merupakan Exco Pemuda Umno.
Kredit foto : Bernama
Memetik laporan Malaysiakini, Ismail Sabri mengesahkan ada menerima surat tersebut dan telah menulis satu nota pendek di atasnya yang ditujukan kepada pengerusi Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) menyatakan sokongannya untuk lantikan berkenaan.
"Ya, saya telah menyatakan sokongan. Hazlan adalah seorang ahli perniagaan jadi pengalaman yang dimilikinya mungkin dapat membantu. Secara politiknya, dia juga merupakan ahli Exco Pemuda Umno.
"Ya (saya setuju ini mungkin nepotisme). Inilah sebabnya mengapa saya tidak melantiknya," kata Ismail.
Kredit foto : Twitter Ikmal Hazlan
Pemegang saham terbesar Pharmaniaga adalah Boustead Holdings yang juga merupakan kontraktor utama kepada Kementerian Pertahanan, manakala LTAT merupakan pemegang saham utama.
Mesyuarat Agung Tahunan Pharmaniaga pada 2 Julai melaporkan perletakkan jawatan tiga ahli lembaganya dan menerusi pengumuman yang dibuat di Bursa Malaysia pada 3 Ogos, tiga ahli lembaga yang baru telah pun dilantik iaitu Azhar Ahmad, Najmil Faiz dan Zulkifli Jafar. - CARI |