|
Campak bayi baru lahir dari tingkat dua flat
myMetroutama
BERNAMA
BAYI lelaki masih bernyawa dan bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemukan berlumuran darah di bumbung sebuah flat di Taman Seri Dermawan, Bercham, Ipoh, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu pada 12.35 tengah hari daripada orang awam.
Beliau berkata, bayi itu dicampak oleh seorang remaja perempuan berumur 16 tahun dari tingkap biliknya yang terletak di tingkat dua dengan ketinggian kira-kira sembilan meter.
"Seorang saksi yang juga jiran suspek mendengar bunyi kuat seperti benda terjatuh di bahagian bumbung rumahnya dan kemudian menemukan bayi berkenaan sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pemeriksaan di bilik suspek yang masih belum ke sekolah kerana baru sebulan berpindah ke rumah berkenaan dari Batu Caves, Selangor mendapati terdapat kesan tompokan darah pada jerigi tingkap serta cadar biliknya.
A Asmadi berkata, bayi malang itu berada dalam keadaan kritikal dan cedera pada bahagian kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
"Suspek dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.
"Keterangan lanjut belum diterima kerana remaja itu dalam keadaan lemah akibat mengalami pendarahan selepas melahirkan bayi berkenaan," katanya.
Beliau berkata, soal siasat ke atas ibu dan dua adik suspek mendapati mereka tidak mengetahui tentang kehamilan remaja itu, malah semasa kejadian dia tidak menunjukkan sebarang petanda mahu melahirkan anak, sebaliknya hanya memberitahu baru sahaja datang haid.
Katanya, saksi kes berkenaan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 12:29 AM
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|