WASHINGTON: Lebih 1/3 daripada penduduk Amerika Syarikat (AS) menggunakan bahan pencuci dan penyahkuman ke atas badan untuk mengelakkan jangkitan Covid-19, menurut tinjauan yang dilakukan sejurus selepas Presiden Donald Trump secara terbuka bertanya jika menyuntik bahan sedemikian boleh merawat Covid-19.
Mencuci makanan dengan peluntur, menyapu produk pencuci atau penyahkuman di atas kulit, serta sengaja menyedut atau memakan produk ini antara amalan “berisiko tinggi” yang paling biasa dilaporkan menerusi tinjauan dalam talian ke atas 502 orang dewasa AS pada 4 Mei lalu, lapor Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Penulis utama tinjauan itu berkata, ia dijalankan susulan “peningkatan mendadak” dalam panggilan ke pusat kawalan racun untuk pendedahan kepada bahan pencuci dan penyahkuman sepanjang Covid-19.
Akhir April lalu, pakar kesihatan terkejut apabila Trump bertanyakan saintis dalam satu taklimat pasukan petugas Covid-19 sama ada memasukkan bahan penyahkuman dalam badan pesakit dapat membantu merawat penyakit itu.
Pengeluar bahan pencuci terpaksa menggesa orang ramai tidak minum atau menyuntik produk itu ke dalam badan.
Kira-kira 39% orang yang menyertai tinjauan itu memberitahu mereka sengaja melaksanakan sekurang-kurangnya satu daripada amalan berisiko tinggi yang tidak disyorkan CDC untuk mencegah jangkitan Covid-19, termasuk menggunakan peluntur untuk membersihkan makanan atau menggunakan semburan bahan penyahkuman ke atas badan.
Sebanyak 4% lagi meminum atau berkumur dengan larutan pencuci dicairkan, air sabun atau penyahkuman.
Satu perempat daripada peserta tinjauan itu memaklumkan mereka mengalami sekurang-kurangnya satu kesan buruk ke atas kesihatan pada bulan terdahulu yang mereka percaya berpunca daripada penggunaan produk itu.
CDC mencadangkan mesej pencegahan Covid-19 rasmi yang kini memfokuskan kebersihan tangan dan pencucian secara kerap juga perlu disertakan arahan penggunaan bahan pencuci serta penyahkuman yang betul, serta penyimpanan bahan kimia daripada diambil kanak-kanak.