Walaupun maklum mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesannya jika ingkar perintah berkenaan, ia tidak menghalang dua remaja bertemu di lorong untuk 'sesi luahan perasaan'.
Harian Metro melaporkan, dua remaja ditahan di lorong tepi sebuah bank, Beaufort Jaya, di Beaufort, malam tadi kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Remaja lelaki berusia 18 tahun berkenaan menemui rakan wanita berusia 19 tahun untuk meluahkan masalah percintaannya yang sedang retak.
Bagaimanapun, mereka kemudian ditahan anggota polis yang membuat rondaan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, 7.20 malam tadi selepas perbuatan mereka ingkar PKP disedari anggota yang sedang membuat rondaan.
“Pemeriksaan mendapati lelaki itu sedang meluah perasaan mengenai masalah cinta antara dia dengan teman wanitanya kepada rakannya yang juga teman kepada kekasihnya di lorong tepi bank berkenaan.
“Remaja perempuan (yang ditahan) pula adalah rakan sekerja kepada teman wanita lelaki terbabit. Kedua-dua mereka ditahan kerana gagal memberi alasan yang munasabah berada di kawasan berkenaan,” kata Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak.
Kredit foto: Harian Metro
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. - CARI |