Zul Yahya dan kari ayam percuma yang diagihkan di restorannya. Kredit foto: Facebook
Ketika artis dan selebriti tanah air yang masih top 'bertekak' dengan netizen tentang isu bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19, lain pula halnya dengan orang lama seperti Zul Yahya.
Beliau yang kini bergiat dalam gerakan tabligh dan mengusahakan restoran memilih untuk berbakti kepada masyarakat yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)dikuatkuasakan.
Usaha murni Zul Yahya itu dapat dilihat melalui rakaman video dan gambar-gambar yang dikongsi melalui laman Facebook miliknya.
Zul Yahya sedang memasak kari ayam. Kredit foto: Facebook
Salah satu aktiviti kebajikan yang dilakukannya adalah memberi kari ayam secara percuma kepada orang ramai di Zul Yahya Steamboat & BBQ di Ipoh, Perak.
"Siapa yang nakkan kari ayam, insya Allah, kari ayam, boleh datang ambil dekat Zul Yahya Steamboat.
"Kita ada panas-panas lagi ni, boleh makan dengan roti jala, boleh makan dengan nasi, boleh makan dengan roti.
"Insya Allah kita kongsi rezeki, kongsi nikmat," katanya melalui video yang disiarkan dalam Facebook.
Difahamkan, kari ayam tersebut diagihkan melalui kaedah pandu lalu atau ambil sendiri yang siap dibungkus justeru tidak timbul isu orang ramai makan di restoran semasa PKP.
Selain belanja orang ramai dengan kari ayam, Zul Yahya turut menyampaikan bantuan makanan seperti beras, telur, tepung dan minyak masak kepada golongan kurang berkemampuan.
Zul Yahya turut menyampaikan bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan. Kredit foto: Facebook
Semoga Allah mengurniakan ganjaran pahala dan rezeki yang luas terhadap kebaikan yang dilakukan oleh Zul Yahya. - CARI |