Kecoh juga industri hiburan apabila para artis tampil memberikan pendapat bahawa mereka juga memerlukan peruntukan khas untuk para artis khususnya.
Namun, lain pula buat pelakon Adam Shahz yang dilihat mengambil pendekatan berbeza apabila turut sama 'turun padang' menghulurkan bantuan kepada para 'frontliners' yang terlibat dalam menangani wabak Covid-19.
Buat pelakon Adam Shahz, atau nama sebenarnya Nor Shah Azli Abdol Ghani, 39, beliau dikhabarkan sudah sekian lama melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan bersama Anggota Pertahanan Awam (APM).
Hal itu didedahkan oleh seorang pengguna twitter @Topanesta yang mengatakan bahawa Adam tidak 'memekak' seperti artis lain mengharapkan bantuan tapi membantu para barisan hadapan dalam menangani pandemik global ini.
Ketika ditemui mStar online, Adam berharap apa yang dilakukannya kini tidak dijadikan publisiti kerana dia sudah lama terlibat dalam aktiviti sukarelawan, tidak hanya turun padang ketika wabak ini melanda.
Beliau juga memaklumkan tidak menerima sebarang bayaran atau elaun tapi sama sekali tidak kisah kerana ini tanggungjawab beliau kepada negara. Lagi pula dia hanya duduk di rumah tidak berbuat apa-apa, lebih baik turun membantu.
Kredit foto : Twitter Topanesta
"Semua program saya terlibat secara sukarelawan. Termasuklah misi memberi bantuan kepada 'frontliners' ini. Sejak hari pertama lagi perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, saya bersama anggota APM lain sudah mula turun padang beri bekalan makanan kepada anggota barisan hadapan," jelasnya lagi.
Sebelum ini, kecoh apabila selebriti seperti Black, Tomok dan Shuib Sepahtu tampil meluahkan pandangan mereka mengenai anak seni khususnya para artis veteran dan pekerja belakang tabir yang perlu dibantu akibat kehilangan sumber pendapatan gara-gara PKP ini.
Kredit foto : BH online
Namun begitu, isu ini menjadi panas apabila netizen mempersoalkan tanggungjawab artis itu sendiri dalam memberikan bantuan sessama mereka kerana mereka ini sering dilihat mempamerkan kehidupan mewah di media sosial.-CARI |