Kredit foto: Facebook Dr Mahathir
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau dikuarantin di dalam rumah selama 14 hari selepas bergambar dengan seorang individu yang disahkan positif Covid-19, baru-baru ini.
Beliau menyatakan perkara itu melalui rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook Buletin TV3.
Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat agar berdisiplin ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
"Kita sanggup dikurung di rumah selama 14 hari. Jadi, kalau kita buat demikian kuranglah kemungkinan penyakit ini merebak kepada orang lain.
"Ini pengalaman saya sekarang ini, terkurung tak boleh keluar. Tak boleh jumpa sesiapa pun, tak boleh bersalam dengan orang, macam-macamlah," jelasnya.
Kredit foto: Facebook Kementerian Kesihatan
Beliau berharap rakyat mematuhi arahan kerajaan untuk tidak keluar rumah sepanjang 14 hari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
Menurut Dr Mahathir, arahan itu adalah untuk kebaikan semua pihak bagi mengekang penularan Covid-19.
"Bukan balik ke kampung, bukan tinggal di kampung tetapi tinggal di tempat di mana kita berada sekarang ini," katanya.
Semoga Dr Mahathir dalam keadaan sihat dan pada masa sama, rakyat Malaysia mesti berdisiplin dengan mematuhi sepenuhnya arahan pihak berkuasa. - CARI |