Lelaki maut dibunuh empat individu selepas menolak aiskrim percuma.
India Today melaporkan, polis pada Jumaat memaklumkan seramai empat individu dipercayai terbabit kes pembunuhan itu telah ditahan.
Lakshay, 27, seorang penuntut, abangnya, Karan, 29, (eksekutif jualan di sebuah bilik pameran kereta), serta rakan mereka Dhiraj, 26, (eksekutif jualan) dan Avinash, 27, (pekedai) ditahan beberapa jam selepas membunuh Amit Sharma, 25.
Kredit foto: Shutterstock/Fer Gregory
Menurut polis, keempat-empat mereka pada malam Khamis, meraikan kejayaan Lakshay yang juga penuntut di Lala Lajpat Rai Memorial Medical College di Meerut kerana lulus ujian.
Mereka kemudian keluar rumah untuk makan aiskrim sebelum bertembung dengan mangsa, abang iparnya, Rahul dan seorang rakan, Ishant.
Namun, perbalahan tercetus antara dua kumpulan itu selepas tiga lelaki terbabit menolak tawaran aiskrim percuma daripada keempat-empat suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol.
Selepas beredar dari situ, kumpulan yang diketuai Lakshay itu kembali kerana tidak puas hati dan menyerang Sharma dengan kayu sebelum melarikan diri.
Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke hospital sebelum doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Bertindak atas maklumat saksi kejadian, kesemua suspek ditahan dalam masa empat jam selepas insiden itu. - CARI |