Gambar hiasan. Kredit foto: Facebook Jabatan Perdana Menteri
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan barisan Kabinetnya di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada pukul 5 petang ini.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook beliau hari ini.
Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, pengumuman itu akan dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah.
Terdahulu, Muhyiddin dijadualkan menghadap Seri Paduka pada pukul 11 pagi untuk mempersembahkan senarai barisan Kabinet baharu.
Gambar hiasan. Kredit foto: Facebook Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pelbagai spekulasi timbul berhubung lantikan Kabinet dalam masa seminggu selepas Muhyiddin dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan.
Antara nama yang diteka mungkin menjadi Timbalan Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta nama beliau tidak dimasukkan dalam senarai menteri Kabinet yang baharu.
Selain itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan disebut-sebut sebagai Menteri Kewangan yang baharu.
Sama-samalah kita menantikan pengumuman Perdana Menteri pada petang ini. - CARI |