Belon-belon udara panas terapung di ruang udara Putrajaya pada 2015.
Kredit foto: Facebook / MyBalloonFiesta
Pemandangan belon udara panas terapung di langit sememangnya jarang dapat dilihat di Malaysia, jauh sekali mengalami sendiri keseronokan melihat muka bumi dari paras setinggi 60 kaki.
Melalui penganjuran Pesta Belon Udara Panas Putrajaya 2020 di Monumen Alaf Baru, Presint 2, Putrajaya, rakyat Malaysia tidak perlu lagi mengembara ke luar negara seperti Cappadocia, Turki untuk menyaksikan dan menaiki belon udara panas.
Memetik blog Red Angpow pada 20 Januari, acara yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya itu bakal berlangsung pada 19 hingga 22 Mac 2020.
Orang ramai boleh memasuki lokasi pesta yang juga popular dengan nama MyBalloonFiesta secara percuma mulai pukul 7 pagi hingga 9 malam.
Lokasi pelancaran belon udara panas.
Kredit foto: MyBalloonFiesta
Bayaran hanya dikenakan kepada pengunjung yang ingin memasuki lokasi pelancaran dan menaiki belon udara panas.
Harga tiket juga lebih murah jika dibeli secara dalam talian melalui laman sesawang MyBalloonFiesta mulai 29 Disember 2019 sehingga 18 Mac 2020.
Harga tiket.
Kredit foto: MyBalloonFiesta
Selain Malaysia, negara-negara lain yang mengambil bahagian dalam Pesta Belon Udara Panas Putrajaya 2020 adalah United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Brazil, Jepun, Itali, Perancis, Sepanyol, Taiwan and Thailand.
Belon-belon udara panas yang dipertunjukkan terdiri daripada pelbagai bentuk seperti sotong kurita, teko dan kepala badut.
Persiapan mengisi udara panas dalam belon.
Kredit foto: MyBalloonFiesta
Bagi mereka yang masih belum membuat perancangan semasa cuti pertengahan penggal pertama persekolahan tahun ini, bolehlah mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama keluarga dengan mengunjungi MyBalloonFiesta. - CARI |