Edited by EJALTI at 4-12-2019 01:29 AM
'Mimpi mati dilanggar lori'
https://www.hmetro.com.my/utama/2019/12/523270/mimpi-mati-dilanggar-lori
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 9:18 PM
Redzuan Muharam
[email protected]
PENAMPILAN terkini Nik Aidi yang dulu dikenali dengan gelaran Ziana Zain nombor 2.
“SAYA berubah dengan kerelaan sendiri kerana rasa takut melihat ramai orang meninggal dunia setiap hari, tidak kira tua atau muda.
“Keadaan itu buat saya terfikir bagaimana jika saya meninggal dunia satu hari nanti tanpa membawa apa-apa bekalan,” kata bekas mak nyah, Nik Aidi Azhar Che Seman.
Nik Aidi, 40, atau lebih dikenali dengan gelaran Ziana Zain nombor 2 memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai gambar penampilannya tidak lagi berpakaian wanita, sebaliknya berjubah dan memakai serban serta kopiah.
Gambar itu mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya memberi reaksi positif selepas dimuat naik rakannya, Mohd Fauzi Yusoff di Facebook pada 30 November lalu.
Bercerita lanjut mengenai penghijrahannya, Nik Aidi yang kini menetap di Kuala Krai, Kelantan berkata, dia mula mengubah penampilan sejak dua tahun lalu dan ia dilakukan tanpa dorongan atau paksaan daripada sesiapa.
NIK Aidi bersama ibu dan bapanya.
“Niat nak berubah ini datang daripada hati saya sendiri kerana rasa takut dengan kematian memandangkan dulu (sebelum berubah), saya sering didatangi mimpi ngeri di dalam tidur antaranya meninggal dunia akibat dilanggar lori.
“Selain itu, saya pernah bermimpi duduk di satu tempat dengan dikelilingi api, tetapi kini hidup saya lebih tenang tanpa ada gangguan sebegitu.
“Mungkin mimpi itu adalah peringatan daripada Allah SWT untuk berubah dan kalau boleh, saya tidak mahu sekerat jalan tetapi biarlah terus begini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, perubahannya tidak berlaku secara drastik, tetapi perlahan bermula dengan mengubah penampilan dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT menerusi solat serta mempelajari ilmu agama.
“Saya perlahan-lahan berubah dan baru-baru ini banyak ke masjid untuk solat. Kalau boleh, saya tidak mahu lagi tinggal solat kerana solat lima waktu itu penting.
“Kalau mati dan di akhirat nanti, solat yang akan ditanya dulu, jadi perkara itu membuatkan saya takut dan sentiasa beringat untuk insaf.
“Alhamdulillah, Allah SWT beri hidayah untuk berubah dan saya rasa lebih tenang, cuma karakter saya saja tidak boleh berubah kerana memang lembut seperti ini.
“Biarlah apa orang nak kata kerana apa yang penting adalah niat saya untuk berubah dan terus berpakaian seperti lelaki,” katanya.
Ditanya mengenai penerimaan insan terdekat, Nik Aidi bersyukur kerana perubahannya itu mendapat sokongan serta maklum balas positif keluarga terutama daripada ibu, Mok Tuan Maunah Tuan Nal, 87, serta ayahnya, Che Seman Cik Weil, 100.
Katanya, selain keluarga, ada rakan menghubunginya dan menghantar kiriman WhatsApp untuk bertanya khabar bagi mengetahui perkembangannya.
“Saya mahu bekerja, tetapi tidak boleh kerana menjaga ayah yang uzur dan sesekali ke rumah mak untuk menziarahinya yang tinggal berseorangan di kawasan berhampiran.
“Kiranya, masa saya banyak dihabiskan bersama ayah kerana duduk berdua dengannya, tetapi ada juga ke Kuala Lumpur dalam tempoh dua tahun ini untuk ke rumah kakak saudara di sana.
“Ada rakan bertanya khabar dan saya ucapkan terima kasih kepada mereka dan semua yang menyokong saya berubah kepada kebaikan. Saya turut doakan untuk anda semua,” katanya yang masih meminati Ziana Zain sehingga kini.
Berhubung pasangan hidup, Nik berkata, dia tidak terfikir mengenai soal jodoh buat masa ini kerana tumpuannya adalah untuk menjaga ibu bapanya dan menyerahkannya kepada Allah SWT.
“Saya doa kepada Allah untuk mempertemukan saya dengan pasangan yang baik, jujur dan ikhlas, itu saja,” katanya. |