Seorang bayi berusia sebulan telah dijumpai dalam keadaan nazak di samping penuh dengan kesan lebam di seluruh badan, termasuk mata. Bayi yang dijumpai bersendirian di rumahnya di Rivne, barat Ukraine itu telah ditinggalkan oleh ibunya untuk keluar bertemu teman lelaki.
Saksi berkata, salah seorang jiran yang menemui bayi lelaki tersebut telah jatuh pengsan selepas melihat keadaannya yang begitu teruk.
Berdasarkan laporan, bayi yang bernama Mykyta itu telah tinggal bersama ibunya yang berusia 19 tahun di sebuah hostel awam. Pada 15 Oktober, ibu Mykiyta telah meninggalkannya bersendirian untuk keluar bertemujanji dan tidak pulang ke rumah sepanjang hari. Seorang jiran yang mengetahui Mykyta ditinggalkan bersendirian di bilik hostel itu berasa risau dan memutuskan untuk melihat keadaan bayi malang itu.
Bilik di hostel awam inilah ruang yang didiami Mykyta dan ibunya. Kredit foto: Daily Mail
"Apabila kami masuk ke bilik itu, kami menemui Mykyta di dalam katilnya. Mata kanannya kehitaman. Hidungnya tersumbat dengan darah kering dan dia sukar bernafas," ujar jiran mereka, Tetiana Prymak kepada wartawan.
"Kami menukarkan bajunya dan melihat kesan lebam gelap di seluruh badannya. Salah seorang wanita dalam bilik itu telah pengsan melihat keadaan itu."
Bayi Mykyta kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat. Kredit foto: Daily Mail
Jiran tetangga menghubungi ambulans dan polis. Mykyta yang kritikal dikejarkan ke unit jagaan rapi dan pihak doktor masih berusaha menyelamatkannya. Mereka mengandaikan bayi itu mengalami keretakan tengkorak namun tidak dapat melakukan pemeriksaan lanjut disebabkan keadaannya yang begitu kritikal.
Mykhailo Kulik, Ketua Unit Jagaan Rapi di Hospital Kanak-kanak Kawasan Rivne menyatakan, "Kami tak pernah melihat bayi yang diabaikan seteruk ini. Saya merasakan ibunya tak pernah menukar bajunya atau memakaikannya lampin. Kulitnya sangat teruk."
Bayi Mykyta kini berada di hospital ini, berjuang untuk hidup. Kredit foto: Daily Mail
Ibu bayi itu telah pulang ke rumah pada pagi ini dan dibawa ke pejabat polis untuk disoal siasat.
Wakil pihak polis, Anton Kruk berkata, "Ibunya mengatakan yang dia begitu tertekan kerana bayi itu tak berhenti menangis. Dia tinggalkan bayi itu berseorangan di bilik dan keluar untuk bertemujanji."
Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes jenayah kerana memukul dan kegagalan melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Ibu Mykyta ketika disoal siasat oleh pihak berkuasa. Kredit foto: Daily Mail
Menurut media Ukraine, pakar psikologi servis sosial, Yulia Tkachenko, tidak dapat menahan air mata apabila melihat keadaan bayi itu dan selepas berbincang dengan ibunya.
"Tidak syak lagi yang bayi itu memang telah dipukul dengan ganas. Ibunya mengatakan yang 'dia tidak menyentuh Mykyta dan kecederaannya adalah disebabkan udara sejuk'," katanya.
Media difahamkan bapa Mykyta yang berusia 27 tahun tidak berminat untuk mengetahui nasib yang menimpa anaknya itu.
Ketua hostel awam tersebut, Igor Novosad, yang mengenali keluarga itu memberitahu yang ibu Mykyta mempunyai seorang lagi anak lelaki.
"Dia melahirkan budak itu pada usia 16 tahun dan dia pastinya berusia 3 tahun sekarang. Kanak-kanak itu diambil darinya dan dibawa ke sebuah pusat pemulihan disebabkan penderaan domestik."
Media tempatan melaporkan kedua kanak-kanak itu mempunyai bapa yang berlainan.
Servis sosial kini sedang mengumpul semua dokumen untuk menyaman si ibu. Andriy Mischenia, Ketua Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Rivne berkata, "Ibunya akan dilucutkan hak sebagai ibu bapa. Bayi lelaki itu akan diambil dan diletakkan di rumah anak yatim."
Wanita itu akan berhadapan dengan hukuman 5 tahun penjara sekiranya didapati bersalah.
(Komen penulis: Pandai buat anak, tapi tak pandai jaga anak) - CARI
|