|
Seorang lelaki berparang mengamuk di hadapan Balai Polis Bukit Indah, petang semalam gara-gara konflik dengan isteri.
Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian jam 3.25 petang itu, suspek, 52, turut berkelakuan tidak senonoh di hadapan balai berkenaan.
"Suspek tiba-tiba datang ke hadapan balai berkenaan dengan membawa sebilah parang sepanjang 78 sentimeter dalam keadaan marah.
Gambar Hiasan
"Ketika sedang mengamuk, suspek juga menyatakan dirinya sedang mengalami masalah dengan isteri selain memberitahu polis yang dia akan membunuh wanita itu," kata Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar.
Bagaimanapun, apabila cuba ditenangkan anggota di lokasi suspek bertindak agresif dan mengugut untuk mencederakan dirinya menggunakan parang dibawanya itu.
Berikutan itu, beberapa anggota terpaksa menggunakan kekerasan minima kerana suspek tidak mahu memberi kerjasama ketika proses tangkapan.
"Hasil pemeriksaan di tubuh badan suspek, polis mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian badannya iaitu luka di bahagian dahi, lutut kiri dan kanan," katanya.
Selain itu, suspek juga disyaki dalam keadaan mabuk ketika kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 dan Seksyen 90 Akta Polis 1967. - CARI |
|