Sekitar OSTWA 10 di Johor Bahru. Kredit foto: Facebook / Polis Johor
Gelagat segelintir pemandu dari Singapura yang melanggar undang-undang lalu lintas seperti memandu melebihi had laju sering dilihat berlaku di lebuh raya di Malaysia.
Mungkin ada di antara mereka yang merasakan boleh terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa di negara ini.
Namun, jangkaan itu meleset sama sekali apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan ketegasan dengan melancarkan Operasi Saman Tertunggak Warha Asing ke-10 (OSTWA 10) di Johor Bahru pada 29 September.
Memetik laporan BH Online, paling mengejutkan, sebuah kenderaan dari Singapura dikesan mempunyai sebanyak 116 saman dengan jumlah terkumpul RM28,000.
Walau bagaimanapun, butiran kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh kenderaan berkenaan tidak dinyatakan.
Nilai saman tertunggak kenderaan dari Singapura melebihi RM10 juta. Kredit foto: Facebook / Polis Johor
Seperti yang dijelaskan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, Datuk Mohd. Nadzri Hussain, sebanyak 247,278 kenderaan milik warga Singapura mempunyai saman tertunggak melebihi RM10 juta sejak 2000 sehingga tahun ini.
"Sepanjang dua hari operasi sejak kelmarin dan semalam, sebanyak 3,174 saman sudah diselesaikan membabitkan 2,687 warga Singapura dan 487 saman warga tempatan selain 198 saman baharu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya.
OSTWA 10 dilancarkan sebagai persediaan menjelang pelaksanaan VEP. Kredit foto: Facebook / Polis Johor
Operasi tersebut juga bertujuan sebagai persediaan kepada warga Singapura untuk menyelesaikan saman tertunggak sebelum permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP) dimulakan.
Tindakan tegas PDRM itu memang tepat kerana tiada sesiapa yang sepatutnya dikecualikan daripada membayar saman lalu lintas termasuk pemandu warga asing. - CARI |