Ahli-ahli dan penyokong DAP menyatakan sokongan terhadap Paul Yong (gambar kecil, kiri) sambil mendesak Nga Kor Ming (gambar kecil, kanan) meletak jawatan semasa berhimpun di luar pekarangan Mahkamah Sesyen Ipoh.
Kredit foto: Sinar Harian & Facebook
Kira-kira 200 ahli dan penyokong DAP berhimpun di pekarangan pintu masuk Mahkamah Sesyen Ipoh pada 24 September bagi menyatakan sokongan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan tuduhan merogol amah warga Indonesia.
Memetik laporan Sinar Harian, mereka turut memegang sepanduk sambil melaungkan, "Bebaskan Paul Yong, Nga Kor Ming letak jawatan".
Tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan perasaan tidak puas hati ahli-ahli DAP Perak terhadap Kor Ming yang pernah memberi kenyataan bahawa nasib Paul Yong selaku Exco Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak akan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH).
Suasana di pekarangan mahkamah Ipoh ketika pada hari Paul Yong dihadapkan untuk sebutan kes tuduhan merogol amah warga Indonesia.
Kredit foto: Facebook / YB Yong Choo Kiong
Ekoran kenyataan Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak itu, dua ADUN dari DAP di Perak iaitu Leong Cheok Keng (Malim Nawar) dan Leow Thye Yih (Pokok Assam) meletakkan jawatan masing-masing sebagai Timbalan Bendahari dan Penolong Setiausaha DAP Perak.
Cheok Keng mendakwa kenyataan Kor Ming yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu telah membelakangkan Jawatankuasa DAP Perak serta lari dari prinsip demokrasi dalam parti.
Sebagai reaksi terhadap kemelut yang tercetus dalam DAP Perak itu, sekumpulan pemimpin dan ahli-ahli DAP mendesak Kor Ming meletakkan jawatannya dalam parti.
Sementara itu, Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dalam satu kenyataan melalui laman Facebook miliknya menjelaskan bahawa tindakan kumpulan yang berhimpun itu tidak mempunyai kaitan dengan pendirian Paul Yong terhadap kepimpinan DAP negeri.
"Seperti yang dijangka, kumpulan yang kecil ini cuba mencetuskan kekeliruan dan mewujudkan persepsi bahawa ada pergeseran di antara Paul Yong dan kepimpinan DAP Perak dengan menggesa Kor Ming meletak jawatan," katanya.
Ngeh Koo Ham memberi kenyataan kepada media. Kredit foto: Facebook / Ngeh Koo Ham
Beliau turut meminta pihak polis supaya segera melakukan siasatan terperinci tentang kemungkinan terdapat konspirasi politik dalam kes Paul Yong seperti yang pernah dilaporkannya sebelum ini.
Biarlah proses keadilan dijalankan di mahkamah terlebih dahulu bagi membuktikan Paul Yong bersalah atau sebaliknya. - CARI |