Leka memasak air ketum di tepi rumah, seorang wadar penjara ditahan dalam serbuan Ops Tapis malam tadi.
Bernama melaporkan suspek berusia 36 tahun iu ditahan di rumahnya di Kuala Klawang lebih kurang jam 11.30 malam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu.
Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Kamarul Rizal Jenal berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat orang awam mengenai kegiatan penagihan dadah di lokasi itu.
gambar hiasan. Kredit foto: Berita Harian
“Ketika serbuan dilakukan lelaki itu sedang leka memasak air ketum dalam periuk yang boleh memuatkan anggaran 14 liter air di tepi rumahnya.
“Dalam serbuan itu, turut ditemui daun ketum di dalam plastik dengan anggaran seberat satu kilogram,” katanya.
Peralatan seperti periuk, tong gas petroleum cecair (LPG) dan dapur turut dirampas.
“Soal siasat awal mendapati suspek memperoleh bekalan daun ketum itu daripada seorang lelaki di Kampung Triang, Jelebu, dengan harga RM50 sekilogram.
“Hasil siasatan suspek mengaku aktif melakukan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu, dan menjual dengan harga RM20 sebotol,” katanya lagi. - CARI |