Kisah seorang guru yang berjaya keluar dari penyakit kemurungan atau depresi dengan bantuan murid-muridnya menjadi viral di Twitter.
Mohamad Safwan adalah guru sandaran di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru yang mencuri perhatian warganet kerana kreativitinya mengajar subjek Sejarah. Malah kaedah pengajarannya itu juga menjadi salah satu caranya mengatasi masalah kemurungan.
Kesungguhannya ketika mengajar dapat dilihat menerusi kostum yang digayakan di dalam kelas yang dihasilkan sendiri dengan bantuan ibunya, Suriyatina Che Hat. Selain menonjolkan kreativiti yang ada, pendekatan itu juga bertujuan menarik minat pelajar datang kelasnya.
Memetik laporan dari Harian Metro, Mohamad Safwan Zulqarnain Jebat mengakui mula mengalami kemurungan sejak di bangku sekolah kerana sering dibuli. Kemurungan itu bertambah serius selepas ayahnya meninggal dunia akibat kanser tisu namun terkawal selepas dibawa bertemu dengan pakar dan kini bertambah baik sejak menjadi guru.
Antara watak Cikgu Safwan semasa mengajar
Safwan kini tidak bekerja buat sementara waktu kerana kontrak terakhirnya sebagai Guru Simpanan Kerajaan telah tamat. Safwan mengakui kehadiran murid-muridnya banyak membantunya melawan depresi.
"Dulu selalu menangis sebelum tidur, bangun je rasa kosong, tak nak buat apa-apa. Tapi bila mengajar, ada murid-murid, saya ada sebab bangun setiap hari. "
"Tengok senyuman mereka, keterujaan untuk belajar serta improvement mereka, saya rasa gembira. Mereka hargai saya. Saya juga banyak fokus pada murid dan persiapan untuk mengajar," ujarnya.
Selamat Maju Jaya Safwan. Semoga terus bersemangat mendidik anak bangsa. - CARI
|