Seorang anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra tidak menyangka pelajar tahfiz yang lemas di Sungai Kedah, Alor Setar adalah sepupunya.
“Saya hanya tahu mangsa adalah sepupu saya sebaik ternampak ibu saudara menangis di tepi sungai sewaktu tiba di lokasi untuk melakukan operasi pencarian.
“Ketika itu saya tak sedap hati dan jadi tak seronok bila dapat tahu sepupu paling rapat dengan saya masih hilang sebelum mayatnya ditemui hari ini,” kata Nasri Abdullah, 27.
Kredit foto: Harian Metro
Memetik laporan Harian Metro, Nasri berkata dia berasa sedih kerana menyertai operasi mencari ahli keluarga sendiri namun bersyukur kerana mangsa, Muhammad Syukri Amri Kadir, 19 dapat ditemui tidak sampai 24 jam.
“Arwah seorang yang hormat ahli keluarga memandangkan dia belajar di sekolah pondok dan di Mesir dan dia saudara dari sebelah ayah saya.
“Saya reda dengan apa yang berlaku walaupun sedih dengan kehilangannya,” katanya.
Terdahulu, seorang pelajar lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di belakang Istana Anak Bukit, Alor Setar.
Mayat kemudiannya ditemui pada 9.57 pagi hari ini oleh anggota PPDA yang melakukan selaman. - CARI |