Sebuah video tular di Facebook dan Whatsapp amat menyayat hati netizen di mana seorang penghantar FoodPanda sanggup menaiki tangga sehingga ke tingkat 14 untuk menghantar tempahan makanan pelanggannya.
Memetik perkongsian di Facebook, disebabkan lif rosak, pelanggan tersebut yang sedang lapar membuat keputusan untuk membuat tempahan melalui aplikasi Food Panda dan perlu menunggu 45 minit untuk menerima tempahannya.
45 minit telah berlalu, namun tempahannya masih belum tiba. Tidak lama kemudian, telefonnya berdering dan mendapati pemanggilnya ialah penghantar tempahan makanannya.
Penghantar tersebut meminta maaf kerana terlambat daripada masa yang dijanjikan. Apabila tempahannya tiba, dia berasa sebak dan sedih apabila melihat fizikal penghantar Food Panda itu.
Dia yang sempurna fizikal mengeluh untuk turun naik tangga sedangkan penghantar itu tidak mengeluh dan tidak riak demi menunaikan tanggungjawabnya mencari rezeki yang halal.
Sempat dia merakam video penghantar Food Panda dan berkongsi kisah ini sebagai pengajaran buat kita semua. Kita tidak akan sedar nikmat yang kita miliki melainkan kita melihat sendiri kekurangan orang yang lebih susah berbanding kita. - CARI |