Bila kita membuka cerita berkenaan sukan gusti professional, pasti watak-watak klasik era WWF seperti Hulk Hogan, Sting, Giant, Undertaker dan lain-lain menerpa ingatan.
Kemudian, zaman mereka disambung pula oleh Stone Cold Steve Austin, Chris Benoit, Kane, The Rock, Randy Orton, Triple H, Booker T- setiap Khamis malam jumaat di TV3, sehinggalah jaguh terkini seperti John Cena, Chris Jericho, Sheamus, Kevin Owens, AJ Styles, Jamal Pak Tongkol, Dean Ambrose dan ramai lagi.
Negara kita sendiri sebenarnya mempunyai sekolah atau kelab untuk melatih ahli gusti profesional.
Nor 'Phoenix' Diana adalah ahli gusti profesional berhijab pertama di Malaysia dan mungkin juga di peringkat dunia. Beliau merupakan ahli gusti profesional wanita yang bernaung di bawah Kelab Malaysia Pro Wrestling (MYPW).
Beliau mula menyertai kelab MYPW pada usia 15 tahun dan dilatih Ayez Shaukat Fonseka. Diana memaklumkan bahawa beliau tidak dilayan secara berbeza hanya kerana beliau seorang gadis atau kerana beliau berhijab.
Jurulatih memberi layanan sama rata kepada semua ahli gusti. Diana adalah salah seorang ahli gusti wanita di kelab tersebut dan selebihnya adalah ahli gusti lelaki.
Jurulatih Diana: Ayez Shaukat Fonseka
Ahli keluarga Diana sendiri serta rakan-rakan gustinya terkejut melihat aksi Diana semasa di dalam gelanggang. Diana adalah seorang yang agak pendiam, namun apabila berada di dalam gelanggang Diana tampil dengan sisi berbeza dan tidak pernah dilihat sebelum ini.
Foto: Instagram Diana
Diana juga mengalu-alukan gadis lain di luar sana yang berminat untuk menjadi ahli gusti profesional seperti beliau. Bukan mudah sebenarnya untuk menjadi ahli gusti profesional apatah lagi bagi wanita berhijab.
Penulis doakan Nor Diana berjaya mencapai cita-citanya dan terus berusaha untuk mengharumkan nama negara. Jangan main-main dengan Diana. Siapa buat hal, habis 'kena lipat'! - CARI
|